Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja tambah baik LRA Gombak capai 77 peratus

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak mencapai 77 peratus setakat jam 1.30 petang tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya menjangkakan kerja penambahbaikan itu siap sepenuhnya pada 6.30 petang ini.

“Kerja penggantian penambahbaikan aset kritikal di LRA Sungai Gombak bermula pada 8.30 pagi tadi dan berjalan lancar mengikut jadual.

“Tempoh masa kerja penambahbaikan dan pemulihan loji dianggarkan selama 10 jam,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 20 kawasan di Gombak mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini sehingga esok berikutan kerja berkaitan.

Katanya tempoh pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas dan lokasi premis perniagaan serta menjangkakan pemulihan bekalan air sepenuhnya di kawasan tersebut esok jam 9.30 pagi.

Pihak hospital atau pusat dialisis yang memerlukan bantuan bekalan air boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp di 019-2816793 dan 019-2800919.