Categories
AGENDA NASIONAL

472 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan peningkatan paras sungai yang menyebabkan banjir.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata keadaan itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 manakala LRA Sungai Langat hanya mengeluarkan 40 peratus bekalan daripada pengeluaran harian.

“Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

“Di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa di henti tugas berikutan banjir” katanya di Facebook.

Air Selangor memaklumkan pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sungai Langat beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

“Selain itu, bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dan premis kritikal di kawasan terjejas tidak dapat dilaksanakan kerana kebanyakan jalan utama ditutup akibat banjir.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan menerusi semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor sedia lori tangki, pili awam bantu pengguna terjejas

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menggerakkan 105 lori tangki ke 998 kawasan yang bakal mengalami gangguan bekalan air mulai 13 Oktober.

Syarikat itu turut menyediakan 18 pili awam antara 14 hingga 16 Oktober bagi memudahkan pelanggan mendapat bekalan air bersih sementara proses pemulihan berlaku.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki dengan bayaran boleh dibuat di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

“Pelanggan terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang gangguan,” kata agensi itu dalam kenyataan semalam.

Air Selangor menjangka bekalan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Gangguan tersebut berikutan kerja menaik taraf sistem bekalan demi keselesaan pengguna selepas tertangguh sejak 2019 akibat insiden pencemaran.

Kawasan terlibat meliputi wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Senarai lengkap kawasan terjejas, lokasi pili air dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Paip pecah: Bekalan air enam seksyen disalur secara berperingkat pagi ini

SHAH ALAM, 24 SEPT: Bekalan air di enam kawasan yang terjejas berikutan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 di sini mula disalur secara berperingkat jam 6.15 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bekalan dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari.

Enam kawasan terjejas meliputi Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 20, Seksyen 23, Seksyen 24 dan Seksyen 25.

“Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, siap dilaksanakan jam 6 pagi. Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” maklum pengurusan itu.

Pengurusan itu juga menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi di talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di pusat bantuan melalui laman sesawang www.airselangor.com.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air di 463 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 2 SEPT: Semua 463 kawasan di lima wilayah yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran bau pulih sepenuhnya jam 6 pagi tadi.

Sehubungan itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

“Pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang http://www.airselangor.com.

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya di Facebook pagi ini.

Sejak kelmarin, kawasan di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat terjejas disebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih selepas pencemaran bau dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di 13 kawasan sekitar KL pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bekalan air di 13 kawasan sekitar ibu kota yang terjejas ekoran kejadian paip pecah di Jalan Kuari, di sini pada Rabu lepas pulih sepenuhnya pada 3 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya juga merakamkan penghargaaan di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual berkenaan.

“Air Selangor turut memohon kerjasama para pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan tindakan pembaikan dapat dilakukan dengan segera,” katanya.

Para pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Setakat 7 malam semalam, pemulihan bekalan air di 13 kawasan itu telah mencapai 80 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Paip pecah, 59 kawasan alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 59 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan paip pecah di Seksyen U11 di sini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga menyebabkan tekanan berlebihan di kawasan pembinaan Worlwide di situ.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki akan digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna yang terjejas,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan kerja pembaikan paip akan dimaklum dari semasa ke semasa melalui saluran komunikasi Air Selangor di Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi telefon pintar dan laman sesawang www.airselangor.com.

Berikut senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air:

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja tambah baik LRA Gombak capai 77 peratus

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak mencapai 77 peratus setakat jam 1.30 petang tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya menjangkakan kerja penambahbaikan itu siap sepenuhnya pada 6.30 petang ini.

“Kerja penggantian penambahbaikan aset kritikal di LRA Sungai Gombak bermula pada 8.30 pagi tadi dan berjalan lancar mengikut jadual.

“Tempoh masa kerja penambahbaikan dan pemulihan loji dianggarkan selama 10 jam,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 20 kawasan di Gombak mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini sehingga esok berikutan kerja berkaitan.

Katanya tempoh pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas dan lokasi premis perniagaan serta menjangkakan pemulihan bekalan air sepenuhnya di kawasan tersebut esok jam 9.30 pagi.

Pihak hospital atau pusat dialisis yang memerlukan bantuan bekalan air boleh menghubungi talian 15300 atau WhatsApp di 019-2816793 dan 019-2800919.