Categories
RENCANA WAWANCARA

KLWBC2020: Bagaimana untuk jadi seorang pencinta buku?

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Bila anda digelar sebagai seorang bibliofil ia bermaksud anda adalah seorang pencinta buku.

Mengenai perkataan bibliofil, ia dikesan paling awal digunakan pada tahun 1820-an di Perancis, dan berasal dari perkataan Yunani, “biblio” iaitu buku dan “philos” iaitu kawan, atau lebih spesifik: seseorang yang sangat menyukai untuk menyimpan dan membaca buku.

Tetapi, bagaimana pula untuk kita menjadi seorang bibliofil ?

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menonton sebuah video berdurasi 30 minit yang secara spesifik mengulas mengenai buku Projek Bibliofil: Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca, hasil tulisan Dr Zahrah Yunos yang diterbitkan pada 2018.

Video ulasan buku itu disampaikan oleh Pengurus Maklumat, Pusat Maklumat dan Perpustakaan BERNAMA, Hasnita Ibrahim di sini baru-baru ini.

Ia juga seiring dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) pada 23 April lepas, yang diharap dapat meningkatkan minat orang ramai terhadap aktiviti membaca, dan melihat bagaimana cara dan langkah-langkah untuk kita merealisasikan perkara ini.

Buku yang mengandungi 10 bab itu banyak berkongsi tips untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan sehingga membolehkan kita menjadi seorang bibliofil (pencinta buku).

Dr Zahrah turut berkongsi tips menerusi buku itu dan Hasnita telah menyampaikannya menerusi pendekatan mudah ‘Why, What, When, Where,Who dan How’, atau 5W 1H.

Why: Kenapa kita perlu membaca?

Hasnita menjelaskan, Dr Zahrah telah berkongsi satu fakta menarik yang perlu kita ambil cakna: purata rakyat Malaysia memperuntukkan waktu untuk aktiviti pembacaan hanyalah sekitar tiga jam seminggu.

Sungguh, ini bukanlah satu fakta yang boleh kita banggakan, kerana jika ingin dibandingkan dengan kebanyakan negara luar yang lain, tahap aktiviti membaca rakyat mereka adalah amat tinggi dengan purata sekitar 10 jam seminggu!

Dengan itu, Hasnita berkata Dr Zahrah telah melontarkan satu persoalan untuk kita fikirkan, iaitu mengapa perlunya untuk kita menjadi seorang bibliofil, dan apakah manfaatnya dalam meningkatkan kualiti hidup kita.

“Membaca adalah satu daripada cabang untuk mendapatkan ilmu. Oleh itu, membaca untuk mendapatkan ilmu adalah menghampiri hukum wajib,” katanya kepada Bernama.

Hasnita menjelaskan, Dr Zahrah turut berkongsi tips bagaimana untuk menangani isu sekatan membaca ataupun ‘reader’s block’.

“Kita boleh memecahkan halangan ini dengan mula membaca buku yang nipis isi kandungannya, buku yang kita minat, kita boleh juga pergi ke kedai buku dan melihat pelbagai jenis buku, ataupun menyertai kumpulan pencinta buku,” katanya.

Pengunjung memakai pelitup muka untuk mencegah virus Covid-19, semasa hadir pameran buku ‘Big Bad Wolf Books’ di Jakarta pada 8 Mac 2020. Foto AFP

What: Apa genre buku yang sesuai?

“Tak kenal, maka tak cinta”, itulah perumpamaan yang menyatakan perlunya kita mengenali sesuatu atau seseorang dengan lebih mendalam supaya dapat menerbitkan rasa cinta kita terhadapnya, begitu juga terhadap aktiviti membaca.

Dr Zahrah ada berkongsi tips bagaimana untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak menjadi pembaca memilih genre buku yang sesuai dengan minat mereka.

“Apabila kita ingin memilih atau membeli buku, kita boleh melihat ulasan berkaitan buku itu di bahagian belakang buku, di samping melihat pada bab-bab yang terdapat di dalamnya, atau boleh mencari buku yang dilihat relevan dengan keperluan kita,” jelas beliau.

Genre buku pula terbahagi kepada fiksyen (buku yang ditulis hasil imaginasi penulis), dan bukan fiksyen (penulisan berdasarkan fakta dan peristiwa sebenar).

Dr Zahrah juga berkongsi tips membeli buku serta bertanyakan adakah kita seorang “Tsundoku” (suka melonggokkan buku tetapi tidak dibaca) ataupun seorang “bibliomania”?

Mengenai biblioterapi, ia boleh digunakan oleh pustakawan, kaunselor, AKRAB (rakan pembimbing perkhidmatan awam), pekerja sosial dan ibu bapa sebagai terapi berkaitan emosi/mental, dan dapat mempertingkatkan kualiti hidup.

When: Bila waktu sesuai membaca?

Setiap orang mempunyai pemilihan waktu yang sesuai untuk melakukan sesuatu aktiviti, ini kerana ia bergantung kepada sibuk atau tidak jadual mereka pada waktu itu.

Untuk aktiviti melibatkan pembacaan, Dr Zahrah menjelaskan waktu terbaik untuk membaca adalah pada waktu pagi.

“Pada waktu itu, saiz otak kita adalah ‘besar’, jadi ia waktu paling sesuai membaca buku berat dan bersifat akademik seperti buku falsafah, sains atau sejarah.

“Pada waktu tengah hari dan petang pula, digalakkan membaca buku lebih santai seperti buku berbentuk motivasi, dan pada sebelah malam pula boleh baca buku ringan seperti buku fiksyen,” jelasnya.

Namun, antara cabaran utama untuk melakukan aktiviti membaca ialah jadual harian yang telahpun padat dengan tugasan.

Bagaimana pula caranya untuk menjadikan membaca sebagai amalan harian? Dr Zahrah mencadangkan agar kita memperuntukkan sekurang-kurangnya 15 ke 20 minit sehari bagi tempoh 21 hari, dengan itu menjadikan kita istiqomah dan perasaan cinta untuk membaca akan hadir secara automatik.

Where: Di mana tempat sesuai?

Tempat di mana kita membaca juga boleh menjadi punca utama yang memberi kita lebih semangat dan tidak merasa cepat letih melakukan aktiviti bermanfaat ini.

Dr Zahrah berkata, kita lebih tahu di mana tempat yang sesuai untuk membaca, antara contoh tempat yang popular ialah di rumah, perpustakaan, kafe, taman rekreasi, tepi pantai dan dalam kenderaan.

“Kita boleh mencontohi negara Jepun, yang mempunyai satu rangkaian kedai buku bernama Book Off dengan kira-kira 800 cawangan di seluruh negara, kerana tahap pembacaan dalam kalangan rakyat mereka amat mengagumkan,” katanya.

Manusia secara fitrahnya tidak boleh melakukan sesuatu aktiviti secara berseorangan dan memerlukan sekurang-kurangnya teman yang sudi untuk melakukannya bersama-sama.

Dr Zahrah menitipkan tips agar kita menubuhkan atau menyertai komuniti membaca, di samping banyak lagi aktiviti lain yang difikirkan sesuai untuk menyemarakkan semangat membaca.

“Boleh juga diadakan aktiviti perkongsian buku dengan orang lain, mengulas buku, beramah mesra dengan penulis ataupun menerusi projek amal dan aktiviti lasak melibatkan pembacaan,” tambahnya.

How: Bagaimana buku mengubah hidup kita?

Kanak – kanak melakukan susun suai gambar ketika Pesta Buku Selangor 2020 di Shah Alam Convention Centre. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dr Zahrah turut berkongsi bagaimana dengan membaca buku boleh mengubah perspektif hidup dan menjadikan kita sebagai manusia yang lebih baik.

“Jika kita gemar membaca buku tentang travelog ke negara lain, itu boleh mencambahkan semangat kita untuk mengembara ke luar negara.

“Membaca juga secara tidak langsung boleh membakar semangat kita untuk menjadi penulis, dengan itu kita turut berkongsi kebaikan dan ilmu kita dengan orang lain,” katanya.

Bagaimana pula dengan menulis buku boleh mendatangkan pelaburan yang menguntungkan kita?

Dengan menulis dan menerbitkan buku boleh menjana pendapatan, yang mana Dr Zahrah menjelaskan nilai dan harganya sesebuah buku yang ditulis oleh kita boleh meningkat apabila tiba suatu masa, di samping kita juga boleh menyertai pertandingan menulis dan memenangi hadiah.

Dr Zahrah turut mencadangkan supaya setiap daripada kita mula untuk membaca buku dan boleh memulakannya secara perlahan-lahan dan berkongsi pengalaman membaca dalam media sosial melalui #projekbibliofil.

Saranan ini adalah sebagai tanda solidariti terhadap KLWBC2020, dan sebarang perkongsian mengenai aktiviti pembacaan juga boleh dibuat menerusi #klwbc2020 #KLBaca.

Sementara itu, Hasnita menambah, terdapat banyak faedah yang boleh diambil dari aktiviti membaca, antaranya dapat meningkatkan fokus, rangsangan mental, daya ingatan, hubungan sosial, kreativiti, empati, memberi ketenangan serta mengurangkan stres.

Hasnita turut menyarankan agar perpustakaan dapat mempromosi poster dan video sebagai peringatan manfaatnya, di samping mewujudkan Kelab Bibliofil di organisasi masing-masing agar dapat mendorong dan meningkatkan lagi aktiviti pembacaan dalam kalangan warga kerja.

Kesimpulannya, menerusi KLWBC2020 dan usahasama semua pihak untuk mempertingkat daya dan minat membaca dalam kalangan orang ramai, ianya secara tidak langsung dapat menyangkal mitos dan dakwaan bahawa rakyat Malaysia adalah bangsa yang malas membaca.

Kewajiban menuntut ilmu hinggalah ke liang lahad, oleh itu tiada istilah terlalu lambat atau tua untuk memulakan amalan membaca, dan ia boleh dimulakan sekarang!

Sisipan

Pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) diumumkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Dunia yang disambut setiap tahun.

Mengikut sejarah, Ibu Kota Buku Dunia telah mula diperkenalkan oleh UNESCO pada tahun 2001 dengan Madrid, Sepanyol diiktiraf sebagai Ibu Kota Buku pertama, yang diberikan kepada sesebuah bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi kepada penganjuran aktiviti, promosi buku dan pembacaan dalam kalangan penduduknya.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia dibuat berdasarkan komitmen ibu kota menjayakan program yang dinyatakan dalam kertas pembidaan yang dihantar kepada Jawatankuasa Penasihat yang merangkumi perwakilan daripada Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA), Persekutuan Antarabangsa Persatuan Perpustakaan (IFLA) dan UNESCO.

– BERNAMA