Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Ambil tindakan tegas kakitangan PBT langgar undang-undang

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan yang melakukan kesalahan melanggar undang-undang dan Kerajaan Negeri tidak sesekali berkompromi mengenainya.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mendedahkan isu salah laku hingga ia tular di media sosial dan menasihatkan semua petugas untuk menjalankan tanggungjawab mengikut undang-undang.

“Saya berharap PBT ambil tindakan tegas kalau benar-benar terdapat sebarang kesalahan dan salah laku malah kita tidak pernah kompromi.

“Kerajaan Negeri juga tidak putus asa melakukan tindakan penguatkuasaan kerana ia berdasarkan undang-undang sepatutnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Pusat Membeli Belah Plaza Alam Sentral hari ini.

Beliau menjelaskan walaupun ada peniaga yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri namun ia bukan lesen untuk melanggar undang-undang termasuk melakukan sebarang tambahan struktur bangunan tanpa kebenaran.

Amirudin berkata beliau dimaklumkan Jabatan Kastam hasil operasi bersepadu yang dilakukan di Sungai Buloh hari ini turut menemui stor penyimpanan minuman keras.

Bandar Sungai Buloh menjadi tumpuan pihak berkuasa susulan pendedahan terdapat premis menjalankan operasi judi haram selain lambakan peniaga asing.