Categories
AGENDA NASIONAL

MB, Anwar ucap takziah Pemergian Tan Sri Dr Abdul Rahman

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar menyampai ucapan takziah kepada keluarga tokoh pendidikan negara Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad yang meninggal dunia hari ini.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’uun. Hiba dan pilu menerima berita pemergian Allahyarham Tan Sri Rahman Arshad, tokoh pendidikan negara.

“Satu nama yang sinonim dengan pembangunan sektor pendidikan di Malaysia. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Ucapan sama turut disampaikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebooknya.

“Hari yang amat sedih bagi saya tatkala guru saya dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah kembali menemui Ilahi awal pagi tadi.

“Saya berkesempatan mengunjungi beliau beberapa minggu yang lalu. Mendoakan kekuatan dan kecekalan buat keluarga saat ditimpa ujian ini,” katanya.

Abdul Rahman, 83, pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 15 Disember 2002.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.