Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Ekonomi berjaya dipacu jika modal insan dibangun secara strategik

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pertumbuhan ekonomi negara dapat dijana lebih baik sekiranya pembangunan modal insan dibangun secara strategik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi membangunkan modal insan secara holistik dan bersepadu, ilmu pengetahuan yang luas dan melangkaui sempadan negara adalah amat penting.

“Ini kerana, kita hendak melahirkan tenaga kerja dan masyarakat secara umumnya yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berhemah dan berjiwa besar, kompeten dan berdaya saing,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Air Selangor dan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Amirudin berkata ia mampu membangun bakat kepimpinan warga kerja Air Selangor dalam memastikan masa depan industri air negeri ini selari dengan objektif transformasi agensi berkenaan.

“Melahirkan pemimpin yang berwibawa, berkarisma dan bertanggungjawab adalah antara teras utama dalam usaha pembangunan modal insan yang mampan dan strategi yang cukup tuntas oleh Air Selangor dalam memastikan kesinambungan operasi yang cemerlang.

“Banyak kajian telah membuktikan pemimpin adalah penyumbang utama kepada kecemerlangan sesebuah organisasi. Pemimpin yang berkarisma dan kompeten dapat mengurus organisasi mereka secara berkesan dan efisien.”