Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pembeli Rumah Idaman Warisan terima kunci lepas 21 tahun menunggu

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penantian lebih dua dekad pembeli Rumah Idaman Warisan di Alam Perdana, Puncak Alam berakhir hari ini selepas masing-masing menerima kunci.

Menariknya, kediaman teres dua tingkat itu dilengkapi set televisyen, kabinet dapur, penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk sebagai insentif kepada 203 pembeli yang menunggu sekian lama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya komited memastikan rakyat negeri ini menerima pulangan baik hasil tadbir urus cekap.

Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama pembeli selepas menyerahkan replika kunci Rumah Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya berharap pemilik memanfaat kemudahan tambahan diberi dan meneruskan kehidupan dengan lebih selesa selepas ini,” katanya selepas menyerahkan replika kunci kepada pembeli di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau berkata proses pemulihan projek mengambil masa lama berikutan pelbagai aspek teknikal dan undang-undang yang perlu diteliti.

“Selepas melihat pelbagai kaedah dan bertindak sebagai kerajaan prihatin dengan keadaan sosioekonomi rakyat Selangor, semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

“Bagaimanapun, saya sedih detik bersejarah ini tidak dapat dirasai semua pembeli kerana ada yang sudah meninggal dunia dan tidak sempat melihat kediaman impian mereka siap tetapi waris dapat berteduh di kediaman tersebut,” kata Amirudin lagi.

Rumah Idaman Warisan dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia, terbengkalai sejak 1999 sebelum diambil alih Pemerbadanan Menteri Besar pada September 2016.

Projek pemulihan bersama Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad membabitkan kos RM38 juta siap sepenuhnya akhir tahun lalu, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.