Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor mampu bebas Covid-19, rakyat perlu kekal berdisiplin

SHAH ALAM, 3 OGOS: Selangor mampu menjadi negeri bebas Covid-19 sekiranya rakyat mengamalkan disiplin diri tinggi, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Pasukan tersebut memaklumkan pencapaian negeri ini yang tidak merekodkan kes baharu hari ini wajar dijadikan perangsang dalam usaha memutuskan rantaian wabak tersebut.

“Jumlah keseluruhan kes ialah 2,130 dengan tiada kes baharu dilaporkan hari ini. Tahniah warga Selangor! Jadikan pencapaian ini sebagai motivasi bahawa Selangor mampu bebas Covid-19 sepenuhnya. Disiplin dan sikap diri kita merupakan vaksin wabak ini. Amalkan norma baharu dan langkah pencegahan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) lima daripada sembilan daerah berstatus hijau ialah Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

“Empat daerah berstatus kuning pula ialah Sepang yang mempunyai tiga kes aktif diikuti Petaling dengan dua manakala Gombak dan Hulu Langat masing-masing satu,” katanya.

Malaysia merekodkan sebanyak dua kes baharu Covid-19 hari ini selepas kali terakhir mencatatkan angka harian sama pada 30 Jun lalu, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes tersebut adalah satu kes kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Sivagangga di Kedah dan saringan pelajar kolej tidak bergejala di Wilayah Persekutuan Labuan.