Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor masih mampu sedia ‘benteng asnaf’ – MB

SHAH ALAM, 4 OGOS: Selangor masih mampu menghulurkan bantuan kepada golongan terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan meskipun jumlah pendaftaran keluarga asnaf semakin meningkat.

Dato’ Menteri Besar berkata seramai 62,000 keluarga asnaf sudah berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) daripada keseluruhan 80,000 yang disasarkan menjelang akhir tahun ini.

“Peningkatan warga yang terkesan ini telah dijangkakan. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri masih mampu menyediakan beberapa ‘benteng asnaf’ dalam menghadapi waktu mencabar sebegini.

“Keluarga di Selangor yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh mendapatkan bantuan kewangan daripada LZS dengan mendaftar sebagai keluarga asnaf,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak RM15 juta diperuntukkan agensi itu kepada asnaf, penjaja, peniaga dan keluarga berpendapatan rendah (B40) pada Mac lalu.

Katanya bantuan itu turut diagihkan kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan serta pelajar institusi pengajian tinggi.

“Saya dan pihak LZS ingin berpesan kepada keluarga yang terkesan akibat Covid-19 untuk menghubungi Zakat Selangor (1-300-88-4343) atau dapatkan maklumat di www.zakatselangor.com.my,” katanya.