Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status perbandaran: MDKS tunggu lampu hijau

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masih menunggu lampu hijau dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung perubahan status majlis daerah kepada perbandaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan perubahan status itu kini dalam proses mendapat persetujuan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Selepas ada persetujuan daripada MMKN barulah ia akan dibawa kepada KPKT untuk diluluskan.

“Namun pada masa sama, ia bergantung kepada tahap kesediaan MDKS sendiri kerana mereka perlu membuat beberapa penelitian termasuk aspek penduduk, pendapatan dan hasil,” katanya selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati Kuala Selangor 2025, di sini, hari ini.

Pada 13 November tahun lalu, Amirudin berkata KPKT tidak meluluskan naik taraf status MDKS kepada majlis perbandaran.

Setakat ini Selangor mempunyai tiga majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Kuala Langat dan Sepang pula berstatus majlis perbandaran.

Sementara itu Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor memegang status majlis daerah.