Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara ambil pendekatan seimbang bagi kemasukan bank digital

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan yang seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai yang kukuh dan berkeupayaan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Melalui pendekatan ini, BNM menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana oleh bank digital agar tidak melebihi RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun awal operasi.

“‘Fasa asas’ ini bertujuan untuk bank digital menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka, manakala di pihak BNM, tempoh tersebut adalah bagi memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai cadangan BNM untuk mengeluarkan lesen bank digital bagi urusan perbankan konvensional dan secara Islam serta status semasa dan bagaimana kementerian akan mengawal selia perbankan digital.

Mohd Shahar berkata tempoh rundingan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital telah tamat pada 30 Jun 2020.

Katanya, BNM menerima hampir 50 maklum balas dan kini sedang mengkaji semua maklum balas itu sebelum memuktamadkan dokumen dasar pelesenan bank digital dan membuka permohonan bagi lesen tersebut.

Beliau berkata bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), termasuk keperluan berkaitan standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

“Sepanjang tempoh fasa asas yang dinyatakan, bank digital berlesen juga tertakluk kepada keperluan pengawalseliaan yang lebih mudah berbanding institusi perbankan sedia ada berkaitan dengan kecukupan modal, mudah tunai, ujian tekanan dan keperluan penzahiran awam.

“Ini bersesuaian dengan objektif untuk menggalakkan pertumbuhan dan inovasi oleh bank-bank digital terutamanya dalam usaha meningkatkan akses kewangan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya.

– BERNAMA