Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kadar air tidak berhasil turun kepada 28.1 peratus

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor berjaya menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 28.1 peratus dalam tempoh 1 April 2019 hingga Ogos lalu berbanding 36 peratus pada 2008, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu susulan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih syarikat konsesi termasuk Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

“Pengurusan air di Selangor dulu kita ada beberapa entiti yang masing-masing berperanan untuk merawat, mengalirkan dan membuat bil air. Namun begitu (semua) entiti ini bergerak tidak sehaluan.

“… dengan mengumpulkan mereka (semua entiti) di bawah entiti Air Selangor, secara keseluruhan kita dapat melengkapkan proses tersebut (pengambilalihan syarikat konsesi),” katanya pada program The Amin Idris Show di Facebook malam tadi.

Beliau menambah gabungan itu juga membawa kepada pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Labohan Dagang yang kini hampir memasuki fasa kedua pelaksanaan.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas keberhasilan pelan penstrukturan industri bekalan air Selangor yang dirancang pada 2008 bagi memulih masalah air dengan suntikan dana daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya bagi membaiki dan menambah kapasiti loji serta sistem perpaipan air di negeri ini.

Difahamkan menerusi dana tersebut Kerajaan Negeri bersetuju untuk menjual aset air sedia ada kepada Kerajaan Persekutuan dan akan membayar balik kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan aset berkenaan melalui pembayaran sewa.

Bermula 1 April 2019, Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.