Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 catat 31 kes baharu, sebahagian besar di Sabah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 31 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini iaitu 28 penularan tempatan dan tiga kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu (17) dan masing-masing satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, jangkitan pernafasan akut teruk dan prapembedahan di Hospital Queen Kudat.

“Baki kes di Sabah direkodkan menerusi saringan rujukan ke Hospital Tawau, saringan kontak rapat kes-9,454 dan saringan tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat.

“Di Negeri Sembilan terdapat empat kes daripada Kluster Bunga dengan satu daripadanya membabitkan bukan warganegara sementara di Kedah satu kes daripada kluster Sungai,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata dua daripada tiga kes import direkodkan di Sabah membabitkan warganegara sementara satu lagi warga Indonesia yang dikesan positif pada pensampelan kedua, semalam.

Keseluruhannya, sebanyak 9,946 kes direkod dengan 615 daripadanya aktif. Seramai tujuh lagi pesakit berjaya sembuh, menjadikan jumlah yang pulih sebanyak 9,203 kes.

“Sebanyak 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes,” katanya lagi.