Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Perpaduan kunci keharmonian

Bahagian akhir sedutan ucapan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 27 Ogos

Bahagian pertama Semai perpaduan, rancak pembangunan

Walaupun kita ada media-media seperti akhbar dan televisyen yang sedikit sebanyak dikawal tapi hari ini adalah zaman setiap individu mempunyai media sendiri. Dengan media sosial yang ada di tangan kita, pelbagai perkara dan isu ditimbulkan dan isu tular menjadi satu perkara yang lumrah dalam kehidupan kita. Majoriti masyarakat terutama Selangor sebagai negeri yang 70 peratus daripada lokalitinya dikategorikan sebagai kawasan urban dan bandar.

Masyarakatnya tidak lagi tertumpu kepada sumber tunggal sebaliknya ia terpencar kepada pelbagai medium dan media yang pelbagai, tidak dapat disahkan, yang rasmi ataupun tidak.

Justeru, inilah cabaran besar kepada kita bagaimana semangat perpaduan dapat dikutip dan dipertahankan. Tahun ini sebagai contoh, kita menyambut ulang tahun ke-63 sambutan Hari Kebangsaan tapi dalam masa sama juga menyambut 50 tahun Rukun Negara sebagai asas dan panca yang memegang kita sebagai sebuah bangsa yang merdeka.

Bagaimana pemahaman kita terhadap Rukun Negara? Adakah hanya mengingatkan tentang prinsip-prinsip tersebut, ataupun kita cuba mendalami objektif yang telah digariskan semasa melahirkan Rukun Negara tersebut.

Objektif yang menyebutkan secara jelas agar kita sesama masyarakat, dengan istilahnya pada ketika itu untuk menjadi sebuah “masyarakat yang liberal”. Bukan hanya pemahaman liberal yang sempit pada hari ini, sebaliknya bagaimana kita memahami kelompok masyarakat yang wujud dalam negara dan kita dapat terbuka terhadap perbezaan tersebut. Masyarakat berbilang kaum dan agama, masyarakat berbilang etnik yang datang daripada pelbagai ruang dan sudut negeri dan negara kita.

Negeri pilihan

Dan juga masyarakat lain di dunia yang memilih Selangor sebagai tuan rumah mereka ataupun tempat tinggal mereka di samping menjadi ekspatriat ataupun pekerja-pekerja luar negara yang bekerja di sini. Justeru, cabaran-cabaran ini harus kita teliti dengan jelas dan bagi pihak Kerajaan Negeri, kita cuba untuk melayani dan memahami setiap kelompok.

Sebaik saya menjadi Menteri Besar Selangor, selalu saya sebutkan bahawa ‘no man left behind’, tidak ada mereka yang kita tinggalkan. Baik mereka yang tinggal di perkampungan ataupun kelompok miskin bandar yang berdepan dengan cabaran-cabaran terkini yang tidak terfikirkan.

Bila kita membincangkan kemiskinan sebagai contoh, ia bukan soal rumah yang uzur, tidak sampai kemodenan kepada mereka tetapi dalam konteks urban dan bandar seperti Selangor, kita berdepan kemiskinan bandar. Mereka hidup dalam dunia yang moden, yang hebat, yang agam dan hebat, tetapi terpinggir daripada pembangunan dan kemajuan tersebut.

Bagaimana kita menangani kelompok ini? Apakah keperluan mereka? Bagaimana sudut pandang kita supaya keperluan mereka dapat dipenuhi termasuk asas seperti perumahan dan sebagainya. Adakah dapat kita tangani dan layani sebagaimana yang berlaku.

Sebagaimana fahaman sesetengah pihak terhadap pandangan sudut ekonomi dan politik, akhirnya punca perbezaan ekonomi inilah yang membakar antara kita, yang dilihat daripada sudut kelas yang kemudian timbul pula isu perkauman yang sangat sensitif dan akhirnya menimbulkan kegelisahan yang tidak berkesudahan.

Selangor diuji sebagai contoh apabila berlaku perbalahan dan pergaduhan antara dua kelompok kecil tetapi menjadi isu nasional, yang meleret kepada isu politik sebagaimana kejadian di Ladang Seafield, pembunuhan ataupun kematian saudara Adib seorang anggota bomba yang masing-masing tidak dapat dijelaskan pada ketika ini.

Kekal perpaduan

Dan cabaran inilah yang sebenarnya sangat nyata di depan kita. Namun, kalau garis perpaduan ini dapat kita lihat dengan jelas, sebagaimana Wawasan 2020 meletakkan inisiatif dan impian untuk menjadi sebuah bangsa Malaysia yang bersatu-padu ditekankan kepada masyarakat terutama kepada anak-anak kita di sekolah, pastinya kita dapat meneruskan cabaran mendatang.

Covid-19 memberikan ingatan dan pengajaran bahawa dengan kemuafakatan dan perpaduan semua, bukan hanya barisan hadapan yang kelihatan, ada yang tidak nampak ataupun mereka ini batasan akhir yang sebenarnya tidak kelihatan, yang bergerak dengan sektor-sektornya sendiri.

Ini termasuklah masyarakat kita yang berdisplin, mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri mahupun yang telah digariskan oleh kerajaan persekutuan. Akhirnya kita berjaya melandaikan keluk sebagaimana cita-cita awal pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu 18 Mac lalu.

Justeru, semoga pengajaran itu memberikan ingatan bahawa kita bukan bangsa yang baru bebas dan merdeka, ataupun baru ingin mengenal. Kita ada pengalaman 63 tahun, kita ada beberapa detik pengalaman yang menjadikan pengajaran kepada kita.

Dan yang terbaru adalah Covid-19. Semua itu dapat kita tangani dengan mengekalkan perpaduan dengan formula-formula yang digariskan, yang ditetapkan oleh Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional (JPNIN) mahupun oleh pimpinan negara dan juga pimpinan negeri.

Justeru, sudut pendengaran awam ini ataupun sesi maklum balas rakyat ini tidak lain dan tidak bukan cuba mengutip setiap pandangan sebelum kita gariskan, sebelum kita tetapkan sebagai sebuah dasar.

Buang prejudis

Sebab itu, Kerajaan Negeri memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan program tidak lain dan tidak bukan supaya kita dapat mengutip setiap akar, keperluan, kepentingan setiap kelompok, bangsa, komuniti dan juga kelas tertentu yang ada dalam negeri dan negara kita. Dan apakah keperluan mereka, apakah pandangan mereka.

Bagaimana psikologi mereka berdepan dengan setiap rintangan dan cabaran, dan kefahaman yang bulat itulah yang akhirnya, akan mengekalkan semangat perpaduan, membuang prejudis perkauman, perbezaan kelas yang memisahkan kita ataupun sedikit sebanyak realitinya ada dalam negeri dan negara kita.

Justeru, sekali lagi saya mengucap tahniah kepada JPNIN dan jabatan berkaitan, kepada institusi yang telah dan akan terlibat dalam aktiviti sesi maklum balas rakyat berhubung draf, pelan, tindakan perpaduan negara ini.

Dan tidak lain dan tidak bukan, inilah usaha berterusan semenjak kemerdekaan sampailah ke hari ini dan sampai bila-bila sesuai dengan demografi dan geografi negara kita yang agak mencabar dan multi-etnik.