Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Tiada kes baharu di Selangor, kali ke-58 tiada kes tempatan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Tiada kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini dan ia kali ke-58 tiada penularan tempatan sejak 18 Mac lalu.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata corak kes baharu berbanding semalam adalah menurun menjadikan jumlah kes sebanyak 2,177.

“Kes jangkitan Covid-19 di peringkat global ialah 26.4 juta kes. Keseriusan pandemik ini menuntut pengamalan norma baharu yang konsisten,” kata agensi itu menerusi Twitter, hari ini.

Sementara itu, data Bilik Gerakan Negeri Selangor memaklumkan bermula 18 Mac sehingga hari ini, tiada kes direkodkan di Selangor buat kali ke-19, sementara kali ke-58 tiada kes penularan tempatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) pula melaporkan terdapat enam kes baharu Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini membabitkan empat kes import dan dua tempatan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 9,391.

Seramai 21 pesakit sembuh Covid-19 dan tiada kematian direkodkan.