Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Galak aktiviti keusahawanan bantu rakyat pulih ekonomi

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menggalakkan aktiviti keusahawanan sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia berkata kecenderungan berbelanja dalam kalangan pengguna dapat membantu pemulihannya jika produk ditawarkan bersesuai dengan pasaran.

“Malaysia mempunyai masyarakat yang suka berbelanja. Kecenderungan untuk setiap ringgit dalam perbelanjaan adalah sekitar 0.57 peratus, antara tertinggi di rantau Asia. Maksudnya RM1, perbelanjaan sekitar 57 sen dan bakinya disimpan.

“Kalau kita galakkan aktiviti keusahawanan, permintaan sentiasa ada cuma isunya apakah bentuk perniagaan, itu perlu difikirkan,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kitaran ekonomi yang berlaku hampir setiap 10 tahun akan mengakibatkan ekonomi menguncup malah Malaysia sendiri menghadapinya pada kadar 1.5 peratus pada 2009, 7.4 peratus (1998) dan satu peratus (1985).

Dr Mohd Afzanizam berkata pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan di peringkat persektuan dan negeri sedikit sebanyak akan membantu proses pemulihan akibat pandemik ini.