Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest sasar 3,000 syarikat sertai hab niaga dalam masa setahun

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Invest Selangor Bhd menyasarkan 3,000 perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai inisiatif pendigitalan yang baharu dilancarkannya, Hab Perniagaan Selangor dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Hasan Azhari Idris berkata hab itu akan menyediakan platform rangkaian maya untuk perniagaan di negeri ini dan membendung penguncupan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Hab Perniagaan Selangor dijangka menyediakan satu lagi saluran komunikasi kepada perniagaan untuk turut serta dan menjalin rangkaian dengan pihak yang berkepentingan, khususnya di rantau ini, walaupun wujud sekatan pergerakan akibat pandemik itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan hab itu di sini hari ini.

Beliau berkata hampir 300 PKS dari 10 negara telah mendaftar dan membuka reruai pameran maya di hab berkenaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu menunjukkan Selangor sentiasa mempunyai perancangan masa depan untuk memudahkan peralihan PKS menjalankan perniagaan dalam norma baharu.

“Selangor tidak berdiam diri dan menunggu krisis ini berakhir. Kami bercadang meningkatkan rantaian nilai, menerajui pendekatan untuk keluar daripada pandemik ini dengan menggunakan pendigitalan sebagai alat,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Hab itu merangkumi tiga komponen.

Komponen pertama ialah Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, portal yang menjadi hos kepada semua webinar dan persidangan maya anjuran Invest Selangor dan mesyuarat maya dengan rakan kongsi yang berpotensi atau para pelabur di seluruh rantau ini.

Komponen kedua ialah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor secara maya yang merupakan format alternatif dalam talian bagi Sidang Kemuncak Tahunan Perniagaan Antarabangsa Selangor, merangkumi Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Bandar Pintar Selangor dan Konvensyen Ekonomi Digital.

Komponen ketiga ialah Hab Maya Majlis Teknologi Maklumat dan e-dagang Selangor, hab maklumat dan webinar bagi program yang dijalankan oleh majlis itu bagi mengembangkan capaiannya kepada audiens antarabangsa.

Teng berkata inisiatif itu bersesuaian dengan Selangor untuk mencapai visinya sebagai negeri pintar yang utama di Asean menjelang 2025.

“Kira perlu menerima realiti bahawa pandemik ini telah mewujudkan kesan domino kepada ekonomi Asean serta di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memudahkan dan membantu syarikat-syarikat di Selangor ketika ketidaktentuan ini untuk mengekalkan kehadiran mereka di negeri ini dan mengembalikan keyakinan mereka,” katanya.

-BERNAMA