Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hab Perniagaan Selangor pacu pertumbuhan usahawan kecil

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Hab Perniagaan Selangor (SBH) bakal menjadi perintis untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh dunia dalam menjalinkan hubungan dengan komuniti perniagaan dan memacu pertumbuhan perniagaan mereka ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.

Walaupun menghadapi sekatan dan sumber terhad semasa krisis tersebut, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata hab perniagaan itu memudahkan syarikat perniagaan di Selangor untuk berhubung dengan pihak berkepentingan selain daripada rakan niaga.

“Ini seiring dengan visi untuk menjadi negara pintar di Asean menjelang 2025 namun ia tidak akan menggantikan aktiviti fizikal pada masa depan kerana kita masih perlu menghadiri persidangan di luar negara dan bertemu orang ramai.

“Usaha ini membantu menambah aliran perniagaan ketika ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran SBH di sini hari ini.

Dato’ Teng Chang Khim berucap pada Majlis Perasmian Hab Perniagaan Selangor di Kuala Lumpur pada 11 September 2020. Foto Facebook Invest Selangor

Chang Khim berkata inisiatif itu dimulakan lima tahun lepas menerusi Ekspo Antarabangsa Selangor dan seterusnya diperluaskan ke Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor serta Ekspo Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor.

“Kami menggabungkan keempat-empatnya dan menjenamakan semula sebagai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (Selangor International Business Summit). Justeru, tiada penganjuran diadakan tahun ini kerana penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu dilakukan secara maya bersama-sama dengan penubuhan SBH, satu lagi inisiatif pendigitalan oleh Invest Malaysia.

“Semua maklumat tersedia dalam talian untuk mereka dan kami berharap dapat memperluaskan aktiviti kami di sana. Oleh itu, kami berharap dapat maklum balas daripada PKS untuk menambah baik hab itu,” katanya.

Chang Khim juga berharap lebih banyak PKS memanfaatkan peluang itu melalui SBH untuk meneruskan perniagaan mereka ketika ini, mencari rakan kongsi baharu atau mewujudkan perniagaan baharu pada waktu yang mencabar ini.

SBH terdiri daripada tiga komponen utama yang merangkumi Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, sebuah portal yang menganjurkan semua persidangan secara maya, webinar yang dianjurkan oleh Invest Selangor dan pertemuan maya dengan rakan kongsi atau pelabur yang berpotensi di seluruh rantau ini.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Invest sasar 3,000 syarikat sertai hab niaga dalam masa setahun

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Invest Selangor Bhd menyasarkan 3,000 perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai inisiatif pendigitalan yang baharu dilancarkannya, Hab Perniagaan Selangor dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Hasan Azhari Idris berkata hab itu akan menyediakan platform rangkaian maya untuk perniagaan di negeri ini dan membendung penguncupan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Hab Perniagaan Selangor dijangka menyediakan satu lagi saluran komunikasi kepada perniagaan untuk turut serta dan menjalin rangkaian dengan pihak yang berkepentingan, khususnya di rantau ini, walaupun wujud sekatan pergerakan akibat pandemik itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan hab itu di sini hari ini.

Beliau berkata hampir 300 PKS dari 10 negara telah mendaftar dan membuka reruai pameran maya di hab berkenaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif itu menunjukkan Selangor sentiasa mempunyai perancangan masa depan untuk memudahkan peralihan PKS menjalankan perniagaan dalam norma baharu.

“Selangor tidak berdiam diri dan menunggu krisis ini berakhir. Kami bercadang meningkatkan rantaian nilai, menerajui pendekatan untuk keluar daripada pandemik ini dengan menggunakan pendigitalan sebagai alat,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Hab itu merangkumi tiga komponen.

Komponen pertama ialah Program Promosi Pelaburan Invest Selangor, portal yang menjadi hos kepada semua webinar dan persidangan maya anjuran Invest Selangor dan mesyuarat maya dengan rakan kongsi yang berpotensi atau para pelabur di seluruh rantau ini.

Komponen kedua ialah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor secara maya yang merupakan format alternatif dalam talian bagi Sidang Kemuncak Tahunan Perniagaan Antarabangsa Selangor, merangkumi Ekspo Antarabangsa Selangor, Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Bandar Pintar Selangor dan Konvensyen Ekonomi Digital.

Komponen ketiga ialah Hab Maya Majlis Teknologi Maklumat dan e-dagang Selangor, hab maklumat dan webinar bagi program yang dijalankan oleh majlis itu bagi mengembangkan capaiannya kepada audiens antarabangsa.

Teng berkata inisiatif itu bersesuaian dengan Selangor untuk mencapai visinya sebagai negeri pintar yang utama di Asean menjelang 2025.

“Kira perlu menerima realiti bahawa pandemik ini telah mewujudkan kesan domino kepada ekonomi Asean serta di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memudahkan dan membantu syarikat-syarikat di Selangor ketika ketidaktentuan ini untuk mengekalkan kehadiran mereka di negeri ini dan mengembalikan keyakinan mereka,” katanya.

-BERNAMA