Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat masih berdegil, 115 ditahan ingkar PKP

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seramai 115 ditahan di seluruh negara kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 111 dikenakan kompaun manakala empat direman dengan ingkar penjarakan fizikal merekodkan kesalahan tertinggi (35 kes).

“Kesalahan lain ialah keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan (31), dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5) dan tidak memakai pelitup muka (1),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng dilaksanakan pasukan keselamatan berjaya menahan 67 pendatang asing tanpa izin serta merampas dua bot dan lima kenderaan.

“Selain itu pasukan keselamatan turut melakukan 98 sekatan jalan raya dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing terutama menerusi lorong tikus,” katanya.