Categories
SELANGOR

Langgar PKP kerja di pusat snuker, dua lelaki dipenjara

PETALING JAYA, 17 JUN: Dua lelaki warga Indonesia dipenjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bekerja di sebuah pusat snuker.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Vinoris Mendonca Amaral, 27, dan rakannya Yuvanalis Manek, 26, selepas mereka mengaku bersalah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengambil langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit dengan bekerja di sebuah pusat snuker di Damansara Jaya di sini pada 4 petang, 30 Mei lepas.

Mereka didakwa telah melanggar Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan sama yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mei.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka menanggung keluarga di Indonesia, namun Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon hukuman setimpal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 800 individu dikompaun, 71 direman ingkar PKP

SHAH ALAM, 14 FEB: Polis menahan 877 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 806 dikompaun dan 71 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (253), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (177) serta aktiviti pusat hiburan (101).

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) manakala baki 166 lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 57,918 pemeriksaan semalam dengan kekuatan 14,071 anggota pasukan pematuhan.

Katanya, pemantauan dijalankan di 4,212 pasar raya, restoran (5,630), penjaja (2,385), kilang (1,570), bank (3,650) dan pejabat kerajaan (664).

“Pemantauan turut dibuat di 1,017 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (268) dan terminal pengangkutan udara (76),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu ingkar PKP berdepan tindakan lebih tegas selepas 4 Februari

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Tindakan lebih tegas akan diambil tanpa kompromi selepas 4 Feb ini terhadap mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana setiap hari, kes Covid-19 dilaporkan meningkat khususnya melibatkan pekerja tapak pembinaan dan kilang.

“Kedua-dua sektor berkenaan (pembinaan dan kilang) merupakan antara penyumbang tertinggi kes Covid-19 di dalam negara ini.

“Seperti yang semua sedia maklum, kita tidak ada lagi kluster pasar pagi dan kluster gerai tepi jalan kerana kita ada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan selain mengambil tindakan berdasarkan fakta yang ada,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak hari ini.

Ismail Sabri berkata semua majikan kedua-dua sektor diarah melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka mulai hari ini di seluruh negara.

Beliau berkata sebelum ini, hanya pekerja asing di sektor terbabit di enam negeri sahaja diwajibkan berbuat demikian.

“Ia adalah untuk memantau status kesihatan pekerja asing yang berkemungkinan menyebarkan Covid-19 dalam kalangam komuniti tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata Ordinan Darurat juga akan dipinda dari segi perumahan pekerja asing yang merupakan antara punca peningkatan kes Covid-19.

“Perumahan pekerja asing ini tidak kondusif kerana kebanyakan mereka tinggal di rumah dalam keadaan berhimpit seperti dua atau tiga orang untuk satu rumah.

“Ordinan Darurat akan dipinda untuk memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang baik kepada pekerja asing mereka dan Ordinan Darurat boleh melakukam perkara itu,” katanya.

Beliau juga berkata sudah banyak kilang ditutup kerana melanggar SOP dan terdapat pekerjanya yang positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti pusat hiburan catat angka tertinggi ingkar PKP

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesalahan terlibat aktiviti pusat hiburan mencatat angka tertinggi ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 442 ditahan atas kesalahan itu.

Menurutnya, mereka sebahagian daripada 672 individu ditahan kerana mengingkari arahan PKP, dengan 643 dikompaun dan 29 direman.

“Seramai 90 individu ditahan tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (73) dan lain-lain (25),” katanya dalam kenyataan.

Mengenai tugas pencegahan operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata sebanyak 45,483 pemeriksaan dijalankan bagi memantau tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,368 pasukan pematuhan membabitkan 10,582 anggota membuat pemantauan di 3,482 pasar raya, restoran (4,814), penjaja (1,572), kilang (1,238), bank (3,124) dan pejabat kerajaan (699).

“Pemeriksaan turut dilakukan di 941 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (235) dan terminal pengangkutan udara (84),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal sedia alat rekod butiran pelanggan kesalahan tertinggi ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan menjadi kesalahan tertinggi dengan 88 individu dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 196 individu yang ditahan dan dikompaun, diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka (86), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (lapan) dan lain-lain (14).

Sementara itu, dalam Operasi Benteng semalam, beliau berkata seramai 59 pendatang tanpa izin berjaya ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan PKP hari ini.

Beliau berkata anggota penguat kuasa juga membuat pemeriksaan di 24 tapak binaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 22 tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan manakala dua tidak beroperasi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 87,522 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam dan ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 9,004 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 77,986 individu dibenarkan pulang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

523 individu ingkar PKP, meningkat lima kali ganda

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jumlah individu ditahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat lima kali ganda kepada 523 semalam berbanding 115 pada 25 September.

Menteri kanan (keselamatan) berkata kesalahan paling banyak membabitkan aktiviti dalam pub dan kelab malam iaitu 356 individu, diikuti kesalahan tiada penjarakan fizikal (105) dan tidak memakai pelitup muka (38).

“Sementara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri iaitu 20 dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4).

“Daripada jumlah itu, seramai 483 individu dikompaun manakala 40 direman,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah sebanyak 45,847 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasa tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Pemantauan dibuat di 3,213 pasar raya, 3,893 restoran serta 1,017 penjaja, 1,011 melibatkan kilang, 2,896 bank dan 520 pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah 903 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat masih berdegil, 115 ditahan ingkar PKP

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seramai 115 ditahan di seluruh negara kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 111 dikenakan kompaun manakala empat direman dengan ingkar penjarakan fizikal merekodkan kesalahan tertinggi (35 kes).

“Kesalahan lain ialah keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan (31), dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5) dan tidak memakai pelitup muka (1),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng dilaksanakan pasukan keselamatan berjaya menahan 67 pendatang asing tanpa izin serta merampas dua bot dan lima kenderaan.

“Selain itu pasukan keselamatan turut melakukan 98 sekatan jalan raya dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing terutama menerusi lorong tikus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKP: 183 ditahan leka berhibur di Bukit Bintang

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Gara-gara leka berhibur tanpa menghiraukan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seramai 183 pengunjung ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, awal pagi ini.

Ketika serbuan Ops Noda oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada pukul 12.50 pagi itu, premis hiburan berkenaan masih memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Kuala Lumpur ACP Rohan Shah Ahmad berkata daripada 183 yang ditahan itu, 75 adalah pengunjung wanita berusia antara 21 dan 40 tahun.

“Polis turut menahan 12 pekerja premis berkenaan termasuk enam pekerja warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja sah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian selepas mengetuai operasi tersebut.

Dalam operasi yang berakhir pada kira-kira pukul 3 pagi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya pembesar suara, telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM2,000.

Menurut beliau, semakan awal premis berkenaan menunjukkan ia beroperasi tanpa lesen.

Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: 383 individu ingkar PKP ditahan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 383 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 32 individu direman manakala 351 dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam kelab malam melibatkan 328 individu manakala 55 individu ditahan kerana melakukan aktiviti tanpa mematuhi penjarakan sosial.

“Selain itu sembilan premis diberi nasihat, manakala tiga diberi amaran kerana tidak patuh tatacara operasi piawai (SOP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjalankan pemantauan harian 12 jenis barangan di 684 premis perniagaan melibatkan peruncit (514), pemborong (145) dan pengilang (25).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKP: Pesara kena laku khidmat masyarakat, menantu didenda

KLANG, 30 APRIL: Padah ingkar perintah kuarantin bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, seorang pesara kerajaan hari ini diarah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) iaitu melakukan khidmat masyarakat, manakala menantunya didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Roszianayati Ahmad memerintahkan Misri Parlan, 66, menjalani PKW selama empat jam sehari bagi tempoh dua bulan dan perintah itu berkuat kuasa selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Beliau turut memerintahkan menantu Misri, A.D Safian Mohd Dimyati, 37, yang bekerja sebagai buruh, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Roszianayati ketika menjatuhkan hukuman berkata, beliau mengambil serius kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

“Namun, saya nak bagi kamu berdua peluang, jangan ingkar arahan daripada kerajaan untuk patuh PKP dan apabila diarah untuk menjalani kuarantin 14 hari kamu kena ikut. Awak kena ingat perkara ini bukan tentang diri awak tetapi orang lain sebab jika awak keluar ada kemungkinan untuk Covid-19 merebak,” katanya.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan Covid-19 di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dengan tidak berada di sebuah rumah beralamat di Kampung Bukit Kapar di sini semasa pemeriksaan pihak polis, sedangkan mereka telah diperintah untuk berada di bawah pengawasan dan pemerhatian di rumah itu selama 14 hari dari 8 April sehingga 22 April lepas, tanpa mendapat pelepasan daripada pegawai yang diberi kuasa.

Mereka melakukan kesalahan itu pada 6.20 petang, 9 April lepas mengikut Seksyen 22 (b) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kali pertama.

Semasa rayuan, peguam Nicholas Cheoh yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata kedua-dua anak guamnya telah menyesal atas perbuatan mereka dan memohon maaf kepada mahkamah serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka.

“Bagi anak guam saya Misri, saya memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk dia melakukan kerja-kerja kebajikan berbanding mengenakan hukuman penjara atau denda kerana dibimbangi ia akan menjejaskan pencen yang diterima setiap bulan. Harap permintaan ini tidak keterlaluan tambahan pula anak guam saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Abd Raoff, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada kedua-dua tertuduh kerana telah melanggar perintah kuarantin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Perbuatan mereka melanggar perintah kuarantin boleh menyebarkan Covid-19 dan membahayakan orang di sekitar mereka. Kesalahan mereka serius kerana pandemik ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi satu dunia.

“Hukuman yang tinggi perlu sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman ringan, ia akan memberi mesej kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak ambil serius kesalahan seperti ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ingkar PKP, 26 individu hadiri majlis pengebumian ditahan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Polis menahan 26 remaja di Kapar selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata pada jam 2 petang itu semua suspek diminta bersurai ketika hadir upacara pengebumian remaja berusia 17 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Polis memberikan amaran berkali-kali minta supaya bersurai dan tidak berarak namun semua suspek tetap berdegil.

“Dipercayai suspek ini adalah rakan kepada simati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, hari ini pihaknya turut menahan bapa simati kerana menganjurkan majlis berunsurkan gangsterisme.

“Bapa simati berusia lingkungan 40 tahun ditahan mengikut Akta Pertubuhan. Semua rakan simati itu berusia antara 20 hingga 30 tahun direman empat hari bermula hari ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

15 lelaki Pakistan didakwa ingkar PKP untuk makan, solat berjemaah

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Sejumlah 15 lelaki rakyat Pakistan yang bekerja di sebuah restoran hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar beramai-ramai untuk makan dan solat berjemaah.

Kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mereka didakwa bergerak dari rumah kedai tingkat dua berdekatan Hotel Lucky di sini ke sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah pada 9 malam 4 April lepas, yang merupakan kawasan jangkitan, tanpa sebab munasabah.

Semasa ditahan pihak berkuasa, mereka memberi alasan keluar rumah untuk makan dan solat berjemaah.

Mereka berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lapan daripada mereka, yang berdepan pertuduhan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini, mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Empat lagi tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam P. Muniswer.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang ikat jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun.

Di mahkamah sama, empat rakan masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan selepas mengaku bersalah ingkar PKP dengan berhimpun di luar gerai makan sambil bermain ‘game’ di telefon pintar di Ampang Ulu Kelang pada 1.20 pagi 15 April.

Mereka ialah Amir Muazzam Ahmad Kamal dan Mohd Farid Redza Ahmad Fairuz, kedua-duanya berusia 23 tahun, Muhamad Ammar Faris Muhamad serta Muhammad Zaid Afiq Mohamad Nizar, yang masing-masing berusia 22 tahun.

Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon agar kesemua tertuduh dihukum penjara kerana mereka sepatutnya memahami bahawa PKP telah masuk fasa ketiga dan tiada alasan munasabah untuk mereka keluar rumah pada 1 pagi.

Empat rakan itu, yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu dikenakan denda kerana ini merupakan kesalahan pertama mereka.

– BERNAMA