Categories
AGENDA NASIONAL

Pendatang guna ‘jalan tikus’ lawat isteri punca kluster baharu di Sabah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sabah membabitkan pendatang tanpa izin, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Laut itu berpunca dari seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar ke negara asal di Filipina pada 27 Ogos.

Bagaimanapun, kes indeks itu menyusup semula ke Sabah melalui jalan tikus untuk melawat isterinya pada 5 September.

“Isterinya disahkan positif pada 8 September ketika melakukan saringan rujukan dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau susulan komplikasi pendarahan selepas bersalin.

“Berikutan aktiviti pengesanan secara aktif dan saringan kontak rapat yang dilakukan, dua lagi kes positif dikesan melibatkan anak serta jirannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat hari ini 49 warganegara Filipina sudah disaring dengan empat disahkan positif, 14 negatif manakala 31 masih menunggu keputusan.

“Proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi yang dikenalpasti. Punca jangkitan masih di dalam siasatan,” katanya.