Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tahfiz harian galak lebih ramai hafaz Al-Quran – menteri

LUMUT, 13 SEPT: Kaedah pembelajaran hafazan Al-Quran secara harian harus dilakukan, bagi membolehkan lebih ramai lagi umat Islam di negara ini dapat menghafaz dan mendalami kitab suci itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tahfiz berbentuk harian itu dapat memberi peluang dan ruang kepada pelajar di rumah, untuk menghafaz seperti mana pelajar di Maahad Tahfiz sekali gus dapat menambah lebih ramai orang mempelajari Al-Quran.

“Saya ada kemukakan cadangan supaya dipelbagaikan bentuk hafazan ini, kerana kalau kita buat secara biasa boleh jadi terhad dan melibatkan jumlah pelajar yang kecil.

“Jadi yang duduk di rumah, pelajar-pelajar akan mengambil sejuzuk, masa pada waktu petang sebagai contoh untuk menghafaz Al-Quran dan mungkin dalam masa yang tertentu sama ada dua atau tiga tahun, mereka juga boleh hafaz Al-Quran, seperti mana pelajar tahfiz,” katanya selepas Kuliah Dhuha dan Serahan Sumbangan Musaadah di Masjid al-Badr, Pulau Pangkor, hari ini.

Zulkifli berkata tahfiz harian dilaksanakan di negara Arab dan di beberapa tempat di dalam negara, dalam usaha memaksimumkan capaian masyarakat terhadap pembelajaran menghafal al-Quran di seluruh tempat dan berharap kaedah pembelajaran hafazan Al-Quran secara harian itu dapat disebar luaskan lagi.

“Biarlah perkara ini dapat dilaksanakan dengan pesat dan lebih banyak lagi penglibatan oleh sekolah-sekolah, bahkan masjid, madrasah dan pusat tahfiz sebagai nilai tambah kepada pelajar yang mungkin tidak berkesempatan untuk memasuki sistem hafazan secara khusus atau sepenuh masa,” katanya.

-BERNAMA