Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan sendiri elak makan daging import – menteri

KUALA NERUS, 30 DIS: Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan. Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Zulkifli berkata ia merupakan pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.

Bagaimanapun katanya pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam berkata tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.

“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan…kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek.

“Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (tatacara operasi piawai) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat: Satu pertiga kapasiti dewan di zon hijau, kuning WP mulai esok

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan dan dibenarkan sehingga satu pertiga kapasiti dewan masjid atau surau Jumaat bagi zon kuning dan hijau di Wilayah Persekutuan bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi solat fardhu lima waktu di zon berkenaan, kapasiti dibenarkan adalah tidak melebihi 30 orang jemaah dan tertakluk kepada keluasan dewan dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi Labuan yang kini dalam zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan pada dua belas orang dan solat lima waktu dihadkan pada tiga orang.

“Pada masa yang sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu sidang khas menerusi Facebook rasminya hari ini.

Zulkifli berkata perkara itu dipersetujui susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-9 yang bersidang pada 2 Nov lepas dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi majlis akad nikah pula, Zulkifli berkata jumlah jemputan adalah tidak melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakan satu meter serta tertakluk pada keluasan premis ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Katanya premis itu merangkumi pejabat agama dan juga masjid-masjid terpilih yang ditetapkan oleh Jawi.

“Jurufoto adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 orang jemputan tetapi hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. SOP ini berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan bermula esok,” katanya.

Zulkifli berkata bagi negeri-negeri lain, perkara itu adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, bagaimanapun untuk tujuan penyelarasan, disarankan negeri-negeri mengikut resolusi yang telah dicapai bersama dalam Mesyuarat MKI baru-baru ini,” katanya

Sementara itu, Zulkifli turut mencadangkan supaya masjid dan surau di zon hijau dan kuning menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-panggilan yang bermusafir untuk menunaikan solat.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak pengurusan surau-surau di kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya dan surau pusat membeli belah di zon hijau dan kuning untuk turut dibuka, namun hendaklah mematuhi SOP yang ketat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,126 kes aktif Covid-19 babit banduan, kakitangan penjara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Sebanyak 1,126 kes aktif Covid-19 melibatkan banduan dan kakitangan penjara dicatatkan di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Beliau berkata penularan dalam kalangan banduan itu bermula di Penjara Tawau, Sabah apabila seorang banduan yang baharu diterima dari Lahad Datu disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober lepas.

“Kluster seterusnya pula dikesan di Penjara Alor Setar pada 29 September lepas dan Jabatan Penjara mengambil serius jumlah peningkatan kes positif Covid-19 di penjara itu, yang kini melibatkan jumlah terbesar dalam kalangan banduan di sebuah penjara.

“Berikutan itu, Jabatan Penjara mengambil segala langkah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat, kuarantin dan mencegah penularan wabak itu dalam segala aspek penugasan kakitangan serta penjagaan banduan di seluruh negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya petang semalam, berkata daripada 688 kes penularan dalam negara semalam sebanyak 394 kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara Alor Setar. Negara semalam mencatatkan 691 kes baharu Covid-19.

Zulkifli berkata bagi memperketat SOP di penjara, beberapa langkah turut dilaksanakan melalui Perintah Tetap Komisioner Jeneral Penjara.

“Bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan, Jabatan Penjara mengambil langkah tambahan dan drastik seperti pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara yang diwartakan sebagai penjara sementara.

”Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 banduan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang awam di luar penjara agar bertenang kerana penularan Covid-19 dalam kalangan banduan adalah dalam kawasan larangan yang tertutup dan dikawal ketat.

“Orang awam diminta memberikan keyakinan penuh terhadap langkah segera yang diambil pihak Jabatan Penjara di bawah kawal selia ketat daripada pihak KKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Penyebaran ajaran sesat terkawal, bantu golongan tersasar – menteri

SEPANG, 22 SEPT: Penyebaran fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam di Malaysia masih terkawal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Meskipun demikian, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa peka dan prihatin kepada golongan yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam dan berusaha membantu mereka kembali ke landasan yang betul.

“Saya lihat dalam isu ini (ajaran sesat) lebih kepada amat terkawal, kecuali sengaja seseorang itu tersilap langkah dan memilih cara yang tidak tepat dan perlu kita sedarkan mereka,” katanya mengulas laporan penahanan ‘Rasul Melayu’ yang dikatakan kembali aktif menyebarkan ajaran yang diharamkan pada 1991 bersama pengikutnya di tiga lokasi di Selangor pada Ahad lepas.

Lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ itu pernah dihukum penjara 10 tahun, didenda RM16,500 dan enam sebatan bersabit kes penyebaran ajaran sesat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada Oktober 2009.

Dalam sidang media selepas perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di sini hari ini oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Zulkifli berkata Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri bagi membendung penularan dan perkembangan ajaran sesat seperti ‘Rasul Melayu’ secara komprehensif.

Menurut Zulkifli, beliau pernah bertemu dengan lelaki yang mendakwa ‘Rasul Melayu itu di Penjara Kajang dan lelaki berkenaan menyatakan sudah bertaubat.

“Bila orang menyatakan sudah bertaubat maka kita terima. Sementelah sampai di Selangor dia sendiri buat istitabah (pengakuan untuk bertaubat),” katanya.

Bagaimanapun katanya susulan perkembangan terbaharu itu, pihaknya akan memberi perhatian khusus terhadap perkara berkenaan dan mengambil langkah yang sewajarnya.

Zulkifli berkata pihaknya juga akan melihat keperluan untuk menyediakan makalah atau buku khusus mengenai ajaran sesat untuk diedarkan kepada imam dan guru takmir yang dilantik pihak berkuasa agama supaya mereka dapat menyampaikan tentang bahayanya ajaran sesat kepada masyarakat.

Mengenai Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia selama tiga hari yang bermula semalam, Zulkifli berkata mesyuarat itu menjadi platform untuk para mufti bertukar-tukar pandangan bersama barisan ahli jawatankuasa fatwa dalam pelbagai isu, antaranya penerangan berkenaan tadbir urus kefatwaan semasa dan peranan jawatankuasa fatwa dalam menyelaras fatwa antara negeri.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tahfiz harian galak lebih ramai hafaz Al-Quran – menteri

LUMUT, 13 SEPT: Kaedah pembelajaran hafazan Al-Quran secara harian harus dilakukan, bagi membolehkan lebih ramai lagi umat Islam di negara ini dapat menghafaz dan mendalami kitab suci itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tahfiz berbentuk harian itu dapat memberi peluang dan ruang kepada pelajar di rumah, untuk menghafaz seperti mana pelajar di Maahad Tahfiz sekali gus dapat menambah lebih ramai orang mempelajari Al-Quran.

“Saya ada kemukakan cadangan supaya dipelbagaikan bentuk hafazan ini, kerana kalau kita buat secara biasa boleh jadi terhad dan melibatkan jumlah pelajar yang kecil.

“Jadi yang duduk di rumah, pelajar-pelajar akan mengambil sejuzuk, masa pada waktu petang sebagai contoh untuk menghafaz Al-Quran dan mungkin dalam masa yang tertentu sama ada dua atau tiga tahun, mereka juga boleh hafaz Al-Quran, seperti mana pelajar tahfiz,” katanya selepas Kuliah Dhuha dan Serahan Sumbangan Musaadah di Masjid al-Badr, Pulau Pangkor, hari ini.

Zulkifli berkata tahfiz harian dilaksanakan di negara Arab dan di beberapa tempat di dalam negara, dalam usaha memaksimumkan capaian masyarakat terhadap pembelajaran menghafal al-Quran di seluruh tempat dan berharap kaedah pembelajaran hafazan Al-Quran secara harian itu dapat disebar luaskan lagi.

“Biarlah perkara ini dapat dilaksanakan dengan pesat dan lebih banyak lagi penglibatan oleh sekolah-sekolah, bahkan masjid, madrasah dan pusat tahfiz sebagai nilai tambah kepada pelajar yang mungkin tidak berkesempatan untuk memasuki sistem hafazan secara khusus atau sepenuh masa,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang lantik Orang Asli jadi guru takmir

CAMERON HIGHLANDS, 6 SEPT: Kerajaan bercadang mewujudkan program khas bagi melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata cadangan itu juga bertujuan memastikan setiap kawasan petempatan masyarakat Orang Asli mempunyai guru takmir.

“Pelantikan guru takmir memang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri yang mengatur tempat pembelajaran.

“Tetapi kita nak kalau boleh ada perubahan yang lebih bersifat menyeluruh dari segi penyampaian dan tugasan supaya semua tempat ada guru takmir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, di sini hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh pihaknya dan Jakim, serta berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu beri perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Zulkifli berkata Kembara Kasih Mualaf akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain untuk memastikan hubungan bersama saudara baru lebih akrab.

Katanya melalui program tersebut, pelbagai modul pembelajaran perkara asas seperti cara solat, mangambil wudud, mandi wajib dan mandi jenazah dapat diajar sebaiknya.

Pada majlis itu, Zulkifli melawat beberapa buah rumah dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan mualaf selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Kredibiliti Syed Husin Melayakan Beliau Menjadi Senator

Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Kreadibiliti dan kebolehan yang ada pada Dr Syed Husin Ali melayakkan dirinya dicalonkan untuk jawatan Senator, ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, beliau mencadangkan nama Syed Husin memandangkan beliau menetap di Petaling Jaya lebih 30 tahun meskipun beliau berasal dari Johor ditambah dengan sumbangannya terhadap negara sebelum ini.

Tegasnya, perlantikan Syed Husin juga tidak mempunyai hubungkait dengan isu ‘mengosongkan jawatan’ Timbalan Presiden PKR yang disandang ketika itu bagi memberikan laluan kepada Azmin Ali.

Dalam keterangan di kamar saksi Abdul Khalid menjelaskan, pelantikan Azmin selaku Timbalan Presiden dibuat melalui Pemilihan Agung PKR.

Abdul Khalid dipanggil sebagai saksi keterangan berhubung kes saman fitnah di antara Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkefli Noordin terhadap Senator Dr Syed Husin berhubung buku ‘Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali’.

“Saya hanya ditanya ada kebenaran jika perlantikan Syed Husin sebagai Senator mempunyai hubungannya dia berhenti menjadi Timbalan Presiden PKR untuk memberi ruang kepada Azmin Ali.

“Kenyataan ini tidak benar. Saya sendiri tidak ada kena mengena dengan perlantikan.

“Cadangan saya adalah atas dasar kebolehan dan keupayaan.

“Saya cadang. Selepas diterima saya bawa kepada parti,” katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah.

Sementara itu, N. Surendran selaku peguam yang mewakili Syed Husin menjelaskan, Abdul Khalid dalam keterangannya turut menyatakan Syed Husin hanya menerima cadangan untuk menjadi Senator selepas dipujuk beberapa kali.

Senator Dr Syed Husin pula menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid bercakap benar ketika menjawab soalan yang dikemukakan.

Pada 27 Januari 2012, Syed Husin, 76, bekas Timbalan Presiden PKR, memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Zulkifli berhubung satu artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lepas, berjudul ‘Zul Noordin Nafi Dakwaan Syed Husin’.

Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator 2

Zulkifli turut memfailkan writ saman yang difailkan dipejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivilmelalui Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua pada 24 Ogos 2012.

Dalam pernyataan tuntutan, Zulkifli mendakwa Syed Husin secara palsu dan dengan niat jahat menerbitkan dan mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan bersifat fitnah terhadapnya.

Beliau mendakwa perkataan itu dalam makna semulajadinya membawa maksud beliau menawarkan kepada Parti Keadilan Rakyat dan/atau Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sekitar April 2008, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-12, untuk meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu bagi membolehkan ketua pembangkang tersebut bertanding dalam pilihan raya kecil.

Katanya, perkataan itu juga, antara lain, bermaksud beliau bersubahat dengan Umno untuk membuat tuduhan dan tohmahan terhadap PKR dan Anwar, serta merelakan dirinya dipergunakan untuk mencapai agenda politik Umno.

Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator 1