Categories
AGENDA NASIONAL

Tugu badminton keluarga Sidek dibaik pulih, bakal tarik pelancong

SHAH ALAM, 18 SEPT: Tugu Peringatan Badminton Keluarga Sidek di Kampung Kanchong Darat, Banting dibaik pulih bagi memastikan monumen tersebut kekal sebagai destinasi tarikan pelancong di negeri ini.

Pengarah projek, Saidul Marjuni berkata proses itu bermula 15 Ogos merangkumi kerja pembersihan, mengecat, mural, landskap, memasang lampu limpah dan pagar mengelilingi tugu melibatkan kos sekitar RM17,000.

“Projek ini digerakkan Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Kuala Langat (DACS) dan dibantu pelbagai pihak termasuk sukarelawan dalam kalangan penduduk tempatan yang bersama-sama menyumbang masa, tenaga, kemahiran dan wang.

“Kerja baik pulih telah masuk minggu kelima dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi. Kita berharap tugu ini akan menjadi mercu tanda pekan Banting dan menjadikan tarikan penduduk luar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Proses baik pulih merangkumi kerja pembersihan, mengecat, mural, landskap, memasang lampu limpah dan pagar mengelilingi Tugu Peringatan Badminton Keluarga Sidek. Foto Facebook DACS

Beliau yang juga pengerusi Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Kuala Langat berkata projek tersebut turut mendapat kerjasama keluarga Allahyarham Dato’ Sidek Abdullah Kamar.

“Keluarga Sidek telah melahirkan lima jaguh badminton iaitu Misbun, Jalani, Razif, Rahman dan Rashid. Mereka membantu Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992, iaitu 28 tahun yang lalu dan kejayaan ini masih gagal kita ulangi.

“Sebagai anak jati Banting, sudah tentu saya berbangga kerana diberi peluang mengetuai projek ini dan tugu ini menyimpan seribu satu makna kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda,” katanya.