Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dana tambahan baik pulih jalan akibat bah antara usul sidang DNS

SABAK BERNAM, 28 FEB: Dana tambahan berjumlah RM200 juta bagi membaik pulih jalan akibat banjir tahun lalu antara usul yang dibentang dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bulan depan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata tiga jenis peruntukan diluluskan Kerajaan Negeri setakat ini, antaranya pembaikan benteng penahan banjir dan cerun susulan musibah itu.

“Setakat ini, untuk jangka masa pendek kebanyakan baik pulih hampir selesai. Bagi yang kritikal seperti di Sri Muda, Sepang, Gombak, Klang dan Kuala Selangor juga hampir selesai,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, beberapa individu turut terkorban dalam bencana itu.

Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit untuk prasarana selain sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tingkat rondaan, elak kes pecah masuk premis

SERDANG, 26 JAN: Polis akan mengawal ketat dan melakukan rondaan berkala di premis perniagaan sekitar lokasi tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Seri Kembangan di sini semalam bagi mengelakkan kejadian jenayah.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata kawalan itu adalah sebagai langkah memastikan tiada berlaku sebarang kejadian ‘pecah kedai’ dan kecurian, sepanjang premis-premis terbabit ditutup susulan bencana itu.

Beliau berkata selain polis, agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Rela, turut membantu menjaga keselamatan kawasan berkenaan.

“Kejadian mendapan tanah di lokasi berkenaan diklasifikasikan sebagai bencana, maka polis telah menetapkan beberapa agensi penguatkuasa untuk membantu memastikan kawasan itu selamat dan terjamin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kerja membaik pulih kawasan mendapan tanah itu, Anbalagan berkata pihak berkuasa tempatan sedang mencari solusi jangka masa panjang membaik pulih kawasan itu, memandangkan pemasangan cerucuk besi yang dilakukan di tebing longkang berhampiran adalah sementara.

Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, tanah runtuh berhampiran longkang besar di Jalan LP 1A/2, telah menyebabkan lima buah kenderaan rosak teruk.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM46 juta baik pulih tanah runtuh kawasan Selayang, Ampang Jaya

SELAYANG, 30 DIS: Sejumlah RM46 juta diperlukan untuk pemulihan kekal di lokasi tanah runtuh bagi seluruh kawasan Selayang dan Ampang Jaya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 11 kawasan tanah runtuh kritikal di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dikenal pasti memerlukan baik pulih segera.

“Antara kerosakan di Apartment Teratai dan Kerajaan Negeri akan berbelanja kira-kira RM1.6 juta untuk betulkan tebing runtuh yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

“Secara asasnya kejadian yang berlaku di tanah kerajaan kita tiada masalah dan mungkin ada dua kes melibatkan tanah individu yang akan diselesaikan. Kita juga akan bincang dengan Kerajaan Pusat berkaitan jumlah bantuan yang boleh dibantu, namun Kerajaan Negeri laksana dahulu kawasan kritikal,”katanya selepas meninjau Apartment Teratai hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, seramai 38 keluarga di Apartment Teratai menerima RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit dan membantu mengusahakan bantuan zakat.

“Walaupun penduduk tidak terkesan akibat banjir kita tetap masukkan mereka dalam senarai penerima bantuan kerana harus berpindah lama ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan.

“Selain PPS, mereka juga boleh berpindah ke rumah keluarga lain atau lokasi yang dirasakan bersesuaian sekiranya tidak berasa selesa,” katanya.

Selepas meninjau Apartment Teratai, Bandar Baru Selayang kira-kira jam 10.45 pagi, Amirudin bergerak ke dua lokasi lain di Persiaran 3 Jalan FT01 dan Jalan Melati 20, Taman Melati.

Seramai 38 keluarga di pangsapuri itu diarah berpindah ke PPS berikutan tebing berhampiran kediaman mereka runtuh. Susulan kejadian MPS telah meletakkan kanvas di tebing itu bagi mengelakkan situasi bertambah teruk.

Categories
ADN SELANGOR

Lulus peruntukan RM5,000 bantu baik pulih medan selera

SHAH ALAM, 5 NOV: Wakil rakyat Sungai Ramal meluluskan peruntukan RM5,000 bagi kerja membaik pulih Medan Selera Kampung Teras Jernang di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat.

Mazwan Johar berkata premis beroperasi sejak tiga tahun lalu itu mengalami kerosakan dan penyelenggaraannya tidak dapat dilakukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Situasi itu menyebabkan perancangan melengkapkan kemudahan asas dari semasa ke semasa tidak dapat dilaksanakan akibat tiada penyewa mampu membayar sewa dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Susulan itu kami luluskan peruntukan RM5,000 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Teras Jernang untuk melaksana kerja baik pulih dan melengkapkan kemudahan,” katanya di Facebook semalam.

Mazwan berharap sumbangan itu dapat menambah baik kemudahan di medan selera berkenaan untuk keselesaan peniaga dan pengunjungnya.

“Saya juga berharap pendapatan peniaga di medan selera itu dapat digandakan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerja selenggara perlu dilaksana Air Selangor, elak insiden berulang

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal dilaksanakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi mengelak insiden pencemaran atau kebocoran berulang.

Dato’ Menteri Besar menerusi infografik di Facebooknya memaklumkan jika tidak diselenggara boleh menyebabkan kerosakan dan ketiadaan air secara mengejut pada masa akan datang.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari menasihatkan pengguna menyimpan bekalan air secukupnya dan merujuk laman hentitugas.airselangor.com untuk maklumat lanjut.

“Air Selangor akan melaksanakan kerja penyelenggaraan yang tertangguh sejak 2019. Kerja ini penting bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu,” katanya.

Menerusi infografik, kerja penyelenggaraan itu akan dilaksana mulai jam 9 pagi pada 13 Oktober dan bekalan dijangka pulih secara berperingkat jam 5 petang 14 Oktober.

Sebanyak 998 kawasan terlibat meliputi kawasan sekitar Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langar dan Kuala Selangor.

Sepanjang kerja itu berjalan Air Selangor akan menggerakkan 105 lori tangki ke kawasan terjejas terutama hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Agensi juga akan menyediakan 18 pili awam bagi memudahkan pelanggan mendapat bekalan air bersih sementara proses pemulihan berlaku.

Empat stesen pengisian air setempat turut dibuka kepada pelanggan komersial yang mahu membeli air menggunakan lori tangki termasuk bantuan dari pejabat ahli dewan negeri, ahli majlis, sukarelawan Team Selangor turut disediakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan solat utama Masjid Putra ditutup untuk baik pulih

PUTRAJAYA, 18 MEI: Dewan Solat Utama dan Dewan Solat Wanita Masjid Putra akan ditutup mulai 30 Mei ini hingga 16 April 2022 bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf kubah utama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, solat fardu berjemaah atau solat Jumaat masih diteruskan di Sahn Kanan Dewan Solat Utama dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara.

SOP tersebut menetapkan hanya 50 jemaah dibenarkan termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau bagi menunaikan solat fardu dan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 7 Jun ini.

“Jakim memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi semua pihak berhubung penutupan tersebut. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak pentadbiran Masjid Putra di talian 03-8888 5678,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tugu badminton keluarga Sidek dibaik pulih, bakal tarik pelancong

SHAH ALAM, 18 SEPT: Tugu Peringatan Badminton Keluarga Sidek di Kampung Kanchong Darat, Banting dibaik pulih bagi memastikan monumen tersebut kekal sebagai destinasi tarikan pelancong di negeri ini.

Pengarah projek, Saidul Marjuni berkata proses itu bermula 15 Ogos merangkumi kerja pembersihan, mengecat, mural, landskap, memasang lampu limpah dan pagar mengelilingi tugu melibatkan kos sekitar RM17,000.

“Projek ini digerakkan Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Kuala Langat (DACS) dan dibantu pelbagai pihak termasuk sukarelawan dalam kalangan penduduk tempatan yang bersama-sama menyumbang masa, tenaga, kemahiran dan wang.

“Kerja baik pulih telah masuk minggu kelima dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi. Kita berharap tugu ini akan menjadi mercu tanda pekan Banting dan menjadikan tarikan penduduk luar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Proses baik pulih merangkumi kerja pembersihan, mengecat, mural, landskap, memasang lampu limpah dan pagar mengelilingi Tugu Peringatan Badminton Keluarga Sidek. Foto Facebook DACS

Beliau yang juga pengerusi Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Kuala Langat berkata projek tersebut turut mendapat kerjasama keluarga Allahyarham Dato’ Sidek Abdullah Kamar.

“Keluarga Sidek telah melahirkan lima jaguh badminton iaitu Misbun, Jalani, Razif, Rahman dan Rashid. Mereka membantu Malaysia memenangi Piala Thomas pada tahun 1992, iaitu 28 tahun yang lalu dan kejayaan ini masih gagal kita ulangi.

“Sebagai anak jati Banting, sudah tentu saya berbangga kerana diberi peluang mengetuai projek ini dan tugu ini menyimpan seribu satu makna kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda,” katanya.