Categories
AGENDA NASIONAL

Agong seru ahli parlimen pamer kematangan, jiwai masalah rakyat

SHAH ALAM, 16 OKT:  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan wakil rakyat mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda juga mahu ahli politik memahami dan menjiwai keluh kesah rakyat serta tidak mengabaikan kesejahteraan mereka.

“Seri Paduka Baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata baginda turut menasihati rakyat, khususnya ahli politik untuk bermuhasabah supaya negara tidak lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

Ahmad Fadil menjelaskan negara ketika ini masih berdepan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar susulan ancaman Covid-19.

Peralihan kerajaan menjadi topik perbincangan utama susulan dakwaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan.

Dakwaan ini diperkuatkan dengan kenyataan Umno yang ingin mempertimbang semula sokongannya terhadap kerajaan persekutuan yang dikuasai Perikatan Nasional.

Ia muncul setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat sidang media dengan mendakwa beliau mendapat sokongan lebih 120 ahli parlimen.

Hari ini, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah memfail usul tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat yang bermula pada awal November. Sidang itu dianggap penting berikutan Belanjawan 2021 akan dibentang. Jika belanjawan gagal diluluskan, bermakna Muhyiddin hilang sokongan.