Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa sedia dana munasabah atasi gejala kesihatan mental

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan perlu memperuntuk dana munasabah bagi membendung gejala kesihatan mental, terutama dalam situasi ekonomi yang meruncing akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana mencukupi boleh mendukung kumpulan yang terkesan dengan masalah tersebut meliputi petugas barisan hadapan.

“Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi.

“Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis hari ini,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menjelaskan sebanyak 44 peratus rakyat Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak Covid-19 melanda negara.

Menurut Anwar, keadaan lebih membimbangkan apabila segelintir pihak berhadapan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung, selain kehilangan kerja serta sumber pendapatan harian.

“Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat penutupan sekolah yang mengakibatkan aktiviti kokurikulum terhad serta kekangan masa bersama rakan-rakan.

“Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya,” katanya lagi.