Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Urusan rawatan psikiatri dipercepat, sokong individu alami tekanan

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai yang meluahkan tekanan menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat) akan dirujuk kepada pakar psikiatri dengan segera mulai tahun depan.

EXCO kesihatan berkata langkah itu antara penambahbaikan program SEHAT selepas sektor kesihatan negeri ini menerima peruntukan Belanjawan #Selangor2022 berjumlah RM65 juta.

“Kita sudah ada pelbagai program mendidik rakyat untuk menjaga kesihatan mental menerusi talian Sehat, ada dalam kalangan mereka yang menghubungi memerlukan rawatan atau terapi dengan pakar psikiatri.

“Jadi tahun depan, InsyAllah ada mekanisme yang mana kita akan berhubung terus dan mereka mereka tanpa perlu janji temu yang lama akan dirujuk kepada pakar, kita perlu sokong mereka,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, peningkatan sebanyak RM8.5 juta itu selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kesihatan rakyat.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat harap peruntukan isu kesihatan mental dikekalkan

SHAH ALAM, 23 OKT: Ahli dewan negeri Subang Jaya mahu peruntukan berkaitan isu kesihatan mental dikekalkan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Michelle Ng Mei Sze berkata harapan itu selepas mengambil kira kepentingan kesihatan mental penduduk terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Saya tidak minta Kerajaan Negeri menambah peruntukan kesihatan mental tetapi harapan saya peruntukan ini tidak dikurangkan.

“Kesihatan mental perlu dipandang serius terutama dalam keadaan pandemik,” katanya pada sidang media Projek Kecil DUN Subang Jaya di USJ6 semalam.

Michelle turut memuji fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang disifatkan mudah dan amat membantu golongan yang memerlukan khidmat nasihat.

“Platform SEHAT ini bagus dan ada potensi untuk dibangunkan lagi, saya berharap Kerajaan Negeri akan menambah baik lagi usaha ini menerusi peruntukan Belanjawan Selangor akan datang,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesan kesihatan mental, panik hingga lupa lokasi pejabat

SHAH ALAM, 13 OKT: Gelisah dan panik sehingga lupa lokasi pejabat antara kes kesihatan mental diterima Pusat Kaunseling Selangor Talian Sahabat ketika pandemik Covid-19.

Penyelarasnya Rinatho Nunchi menerima kes seorang individu terlalu resah hingga ‘tidak nampak’ pejabat meskipun sebenarnya sudah berada di sekitar premis terbabit.

“Bila saya buat ujian didapati pekerja terbabit sebenarnya mengalami kegelisahan yang tinggi dan belum cuba mendapat rawatan pakar.

“Dia pun tidak tahu kegelisahan itu boleh menyebabkannya tidak nampak pejabat sedangkan sudah berada di parkir, saya beri penjelasan dia dilanda panik sebenarnya,” katanya.

Rinatho berkata demikian dalam program bual bicara Kesihatan Mental: Hapus stigma, bantu segera disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau berkata ramai individu tersalah tafsir masalah kesihatan mental dihadapi menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan di pusat yang betul.

Menurutnya, ramai mengaitkan perubahan tingkah laku dengan gangguan makhluk halus namun sebenarnya berpunca daripada faktor lain seperti hilang pekerjaan.

“Sebab itu kena tahu masalah sebenarnya supaya boleh mendapatkan rawatan mental di pusat kaunseling disediakan kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Utama kesihatan mental, seru cakna keadaan orang keliling

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri mengutamakan agenda kesedaran kesihatan mental dengan memperkenalkan inisiatif Selangor Mental Sihat (Sehat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang terdapat di dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) antara usaha membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.

“Usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan literasi mengenai isu-isu sebegini wajar dirancakkan dalam kalangan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang sihat serta harmoni.

“Setiap dari kita mempunyai peranan yang boleh dimainkan bagi memastikan kesihatan mental terpelihara. Cakna dengan keadaan orang sekeliling dan dapatkan bantuan segera,” katanya menerusi Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini.

Beliau berkata Selangor melaksanakan agenda kesedaran mental sejak setahun lalu susulan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 1,080 kes percubaan membunuh diri.

“Statistik Polis Diraja Malaysia merekod 336 kes bunuh diri sehingga Mac dan statistik ini sangat menggusarkan,” katanya.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan Sehat dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

SEHAT  boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesihatan mental anggota tentera antara isu tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Isu berkaitan tindakan kerajaan dalam memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota dan pegawai tentera dalam keadaan baik antara yang dijangka menarik perhatian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Kanan Pertahanan, yang turut ingin tahu pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan di Balai Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Sarawak baru-baru ini.

Selain soalan-soalan berkaitan Covid-19 dan vaksin, sesi pertanyaan bagi jawab lisan juga dijangka turut menyentuh kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya yang akan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang).

Wong turut meminta Menteri Luar menyatakan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil terhadap rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hari ini melibatkan 12 lagi kementerian antaranya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Kesihatan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM terima 223,990 panggilan minta kaunseling, sokongan emosi

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Sebanyak 223,990 panggilan diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial sehingga 19 Sept lepas, dengan 80.8 peratus pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata panggilan itu meliputi isu berkaitan kehilangan pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga dan masalah hubungan interpersonal.

“Selain itu, isu lain termasuk stigma jangkitan, isolasi serta kurang akses perkhidmatan bantuan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu usaha kerajaan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Dr Noor Azmi berkata Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan itu adalah antara inisiatif kerajaan sebagai penambahbaikan terhadap pengurusan kesihatan mental sedia ada.

“Selain itu, penambahan sejumlah 200 pegawai psikologi kaunseling pada Oktober tahun lepas secara kontrak di peringkat daerah dan Klinik Kesihatan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di 1,191 Klinik Kesihatan seluruh negara.

“KKM juga mengukuhkan program promosi dan pencegahan kesihatan mental di peringkat primer termasuk perkhidmatan saringan, intervensi dan rawatan kesihatan mental bagi meningkatkan pengesanan awal individu yang alami masalah ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Program kesihatan mental kini boleh diakses dalam SELangkah

SHAH ALAM, 11 SEPT: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) kini boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ketua Pegawai Eksekutif Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) berkata fungsi terbaharu itu dilaksanakan bagi menangani pelbagai isu kesihatan mental penduduk.

“SEHAT juga akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan awal menerusi modul saringan kendiri serta bantuan psikososial daripada kaunselor profesional dan forum sokongan.

“Ciri baharu ini melengkapi vertikal kesihatan SELangkah dan pengenalannya memang tepat pada waktunya iaitu ketika musim pandemik ini,” kata Tengku Iesta Tengku Alaudin dalam kenyataan hari ini.

Antara fungsi yang boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Ciri terkini SELangkah itu adalah hasil kerjasama SVSB dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Uiam) dan WhatsDoc Sdn Bhd.

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat digalak akses Selangor Mental Sihat, tonton video pendidikan kesihatan

SHAH ALAM, 7 SEPT : Masyarakat digalak mengakses fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menangani isu mental.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata fungsi itu menyediakan pelbagai komponen berbentuk video dan forum yang dapat membantu individu mengalami tekanan ekoran pandemik Covid-19.

“Selain saringan dan intervensi awal, SEHAT turut menawarkan video pendidikan kesihatan mental daripada kaunselor berpengalaman termasuk dilengkapi jurubahasa isyarat untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Forum SEHAT pula dibuat secara mingguan melibatkan kerjasama NGO (badan bukan kerajaan) Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa), justeru masyarakat perlu manfaatkan inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Pengguna turut berpeluang menonton 30 video pendidikan kesihatan mental dilengkapi jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan OKU.

Inisiatif tersebut dibangunkan dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lancar program penjagaan kesihatan mental pada 30 Ogos

SHAH ALAM, 15 OGOS: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bakal dilancar oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 30 Ogos ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan program ini demi meningkatkan kesedaran rakyat kepentingan menjaga kesihatan mental ketika musim wabak ini.

“Fungsi SEHAT nanti boleh diakses melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan daripada situ ada talian untuk pengguna berbual dengan pakar kaunselor tanpa berjumpa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pra Pelancaran SEHAT Selangor di Facebook Kita Selangor, semalam.

Dr Siti Mariah berkata pengguna juga akan diberi penglibatan awal mengenai kaedah untuk menangani penyakit mental menerusi paparan video psikologi.

Program itu turut mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa).

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19, impaknya terhadap kesihatan mental di Malaysia

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Isu bunuh diri boleh dikatakan perkara tabu di negara ini dan amat jarang dibincangkan secara terbuka, namun peningkatan ketara kes itu merentasi semua kaum mutakhir ini yang diyakini ada kaitan dengan pandemik Covid-19, menuntut semua pihak membuka mata.

Apatah lagi tidak ada tanda-tanda penularan pandemik itu akan reda dalam masa terdekat sedangkan sebahagian besar rakyat kini semakin lesu upaya untuk terus mendepani cabaran yang dibawa Covid-19 sejak awal tahun lepas, khususnya membabitkan kelangsungan hidup mereka.

“Pandemik ini menyebabkan sebahagian daripada kami menghadapi kesukaran untuk kekal stabil dari segi emosi kerana beban mental yang dipikul semakin bertambah,” kata SIUMAN, satu jaringan rakan sekutu dan pesakit yang sedang menjalani rawatan kesihatan mental di negara ini.

Sebahagian daripada mereka juga pernah cuba menamatkan riwayat hidup.

SIUMAN terbentuk sebagai satu kumpulan yang menawarkan sokongan moral kepada sesama sendiri, namun sejak Jun lepas, ia memanfaatkan laman Twitter untuk mendidik masyarakat tentang kesihatan mental selepas menyedari isu itu semakin meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 pada awal tahun ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Jaringan tersebut yang turut memperjuangkan kesaksamaan sosioekonomi dan politik, berkata keadaan bertambah buruk apabila akses kepada perkhidmatan kesihatan mental sukar diperoleh disebabkan sistem penjagaan kesihatan negara kini semakin kritikal akibat menanggung beban Covid-19.

Statistik kes bunuh diri

Eksekutif Kanan Unit Dasar Masyarakat, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Vaisnavi Mogan Rao berkata pengurusan pandemik dan sosioekonomi merupakan kunci dalam menangani ketidaktentuan sosioekonomi rakyat.

Beliau bersetuju lonjakan kes bunuh diri kebelakangan ini berkolerasi dengan kadar lesu upaya yang dialami masyarakat dalam tempoh enam bulan lepas.

“Lebih ramai yang berisiko mengambil jalan singkat ini jika kempen yang bersesuaian tidak dilaksanakan dan kapasiti perkhidmatan kesihatan mental merentasi komuniti tidak dipertingkat,” katanya kepada Bernama.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini, Malaysia merekodkan 468 kes bunuh diri dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, berbanding 631 kes sepanjang tahun lepas.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 336 kes bunuh diri dilaporkan oleh pihak polis, atau secara purata kira-kira empat kes bunuh diri dilaporkan berlaku setiap hari dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, SIUMAN dalam e-mel kepada Bernama, menekankan kepentingan keazaman politik dalam kalangan pemimpin negara bagi menyelesaikan isu bunuh diri secara total.

Sekadar mengadakan talian sokongan moral dan hospital tidak cukup untuk menangani masalah kesihatan mental yang berpunca daripada tekanan hidup, katanya yang menggesa kerajaan mewujudkan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan bagi menggubal dasar dan melaksanakan perubahan perundangan.

Bersetuju dengan gesaan itu, Vaisnavi berkata data yang terkumpul perlu dikongsikan dengan pihak yang berkenaan termasuk badan bukan kerajaan, bagi membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar isu tersebut dan seterusnya membantu kerajaan melaksanakan strategi pencegahan bersasar.

Bunuh diri boleh dicegah

Sebahagian besar kes bunuh diri sebenarnya boleh dicegah, kata Dr Chua Sook Ning, pengasas Relate Malaysia, sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada 2015, dengan fokus utama pada penyediaan perkhidmatan, pendidikan, latihan dan advokasi berkaitan kesihatan mental.

Chua berkata semakan intervensi pencegahan bunuh diri pada 2020 mendapati intervensi yang dilakukan berjaya mengurangkan jumlah kes bunuh diri yang “berjaya” dan cubaan bunuh diri.

“Pakar kesihatan mental bersetuju pandemik ini akan meninggalkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental masyarakat.

“Lagi lama masyarakat mengalami tekanan perasaan, lagi banyak masa dan sokongan yang diperlukan oleh mereka untuk pulih,” katanya yang mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan kesihatan mental bagi memahami serta membangunkan strategi pencegahan dan rawatan intervensi, khususnya ketika negara berdepan krisis.

Nyahjenayah bunuh diri

Malaysia antara segelintir negara yang memperuntukkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah, dan undang-undang sedia ada membolehkan seseorang yang disabitkan kesalahan itu dihukum penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Di sebalik gesaan beberapa pihak termasuk SIUMAN sendiri agar perbuatan itu dinyahjenayah, ada pihak lain, kebanyakannya daripada golongan konservatif, menghujahkan bahawa perbuatan tersebut adalah berdosa dan “menghalalkannya” akan membawa kepada lebih banyak kejadian bunuh diri.

Menolak pandangan itu, SIUMAN berkata kesaksamaan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat merupakan langkah yang lebih berkesan bagi menangani isu bunuh diri.

“Apa yang kerajaan boleh lakukan untuk jangka pendek ialah mengisytiharkan penangguhan penguatkuasaan peruntukan berkaitan cubaan bunuh diri dalam Kanun Keseksaan,” kata kumpulan itu yang mengakui reformasi perundangan akan mengambil masa.

Pada Februari 2020, Majlis Peguam Malaysia pernah memohon kerajaan memberikan pengampunan kepada mereka yang disabitkan dan dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang berkaitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Mengulas perkara itu, Chua berkata nyahjenayah bunuh diri disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan kebangsaan.

Namun katanya langkah pencegahan semata-mata tidak memadai.

Justeru, Relate Malaysia bekerjasama dengan mereka yang pernah melalui pengalaman tersebut bagi memahami stigma yang menyusuli kejadian bunuh diri dan cubaan bunuh diri, selain hakikat golongan itu menerima layanan buruk apabila tampil meminta bantuan.

“Bukan belas kasihan yang diterima, sebaliknya mereka dimalukan dan dipersalah atas tekanan perasaan yang dialami. Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu mengakui sikap prejudis serta diskriminasi ini dan seterusnya mengubah sikap itu sekiranya kita serius mahu mengurangkan kadar kejadian bunuh diri di Malaysia,” katanya.

Intervensi secara agama

Pada akhir bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang mempersiap 160 pegawainya dengan kemahiran psikospritual, bimbingan dan ilaj syarie (rawatan Islam) untuk ditempatkan di hospital di seluruh negara bagi menangani kes kemurungan.

Katanya perkhidmatan akan diperluas ke agensi lain di bawah Kementerian Kesihatan bagi menangani isu kemurungan dalam kalangan pesakit dan petugas hospital, sama ada disebabkan oleh Covid-19 mahupun isu lain.

Namun, SIUMAN berpandangan sistem penjagaan kesihatan harus dikekalkan dalam konsep sekular melainkan pesakit sendiri mahukan bimbingan kerohanian.

Vaisnavi pula berpendapat pegangan agama boleh menjadi pelindung terhadap pemikiran negatif dan penempatan pegawai terlatih di hospital boleh membantu meningkatkan akses kepada sokongan agama bagi individu yang menginginkannya.

Pada masa sama katanya langkah itu boleh menampung kekurangan pakar kesihatan mental di negara ini, khususnya dalam sistem kesihatan awam.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan mengambil lebih ramai ahli psikologi daripada sektor swasta untuk digemblengkan dalam situasi semasa.

“Kerajaan juga boleh melaksanakan latihan pertolongan awal untuk kesihatan mental secara percuma bagi memastikan lebih ramai individu dalam sesebuah komuniti mempunyai kemahiran bagi memberikan bantuan terhadap mereka yang menunjukkan kecenderungan membunuh diri atau kemerosotan kesihatan mental,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Kesan masalah mental menerusi gaya hidup dunia digital

SHAH ALAM, 17 JULAI: Masyarakat kini perlu lebih peka melihat perubahan seseorang dalam dunia maya atau digital bagi mengesan masalah kesihatan mental dihidapinya.

Pakar Psikiatri Hospital Miri Dr Ravivarma Rao Panirselvam berkata masalah yang boleh mendorong kepada bunuh diri itu tidak hanya boleh dilihat dari sikap dalam kehidupan luaran sahaja.

Menurutnya, dalam penggunaan meluas teknologi masa kini perubahan sikap atau percakapan sahaja tidak mencukupi tetapi harus membabitkan kehidupannya di dunia digital.

“Contohnya bagaimana dia membuat hantaran di media sosial atau pesanan dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya dibiarkan ada tanda biru (sudah dibaca) tanpa dibalas.

“Kita boleh lihat perwatakannya serta tanda dirinya mengalami masalah mental, itu tidak boleh diambil mudah dan harus dibantu segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bual Bicara SelangorTV: Cegah bunuh diri, tanggungjawab bersama yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Dr Ravivarma berkata mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental perlu segera mendapat rawatan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk seperti bunuh diri.

“Malaysia mempunyai pelbagai kemudahan baik milik kerajaan atau swasta, boleh dapatkan bantuan juga di 20 Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) di hospital seluruh negara.

“Jangan biarkannya, kerana kita ada kes seseorang pesakit membiarkan masalah mental berlarutan tanpa rawatan sehingga 20 tahun, ini berlaku di bandar bukan pedalaman menyebabkan sukar dirawat,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pusat kaunseling Selangor bantu atasi masalah kesihatan mental

SHAH ALAM, 5 JULAI: Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat (PKS-TS) menawarkan bantuan khidmat nasihat bagi menangani masalah kesihatan mental sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pengerusinya berkata mereka yang mengalami gangguan mental boleh menetapkan janji temu dengan menghubungi talian 03 5519 0500 atau WhatsApp 013 300 9291 dan mengikuti Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.

Menurut Mohamad Zahri Samingon pihaknya memberikan sesi kaunseling berstruktur secara secara maya yang menggantikan kaedah bersemuka yang ditangguhkan susulan PKPD selain menggunakan platform media sosial.

“Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD di kebanyakan kawasan di Selangor, PKS-TS menyeru masyarakat terganggu emosi atau psikologi segera menghubungi kami untuk bantuan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai bagi membendung Covid-19.

Bagaimanapun, jika penularan wabak gagal dibendung, PKPD di sesuatu kawasan akan disambung selama dua minggu berikutnya.

22 Mei lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata banyak kes bunuh diri berlaku akibat masalah kesihatan mental sepanjang PKP namun tidak dihebohkan.