Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Empat lagi kluster baharu dikesan – KKM

SHAH ALAM, 15 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat lagi kluster baharu hari ini masing-masing di Sabah, Negeri Sembilan dan Putrajaya, Perak serta Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Olive, Sabah melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor serta Kota Marudu dan Penampang di Sabah.

Katanya kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-11,489 dikenal pasti di Selangor hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

“Kes dikesan positif Covid-19 pada 2 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengenal pasti 16 lagi kes positif,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata, Kluster Bah Pasir, Negeri Sembilan dan Putrajaya melibatkan Port Dickson di Negeri Sembilan yang merupakan kes indeks ke-14,329 dan turut dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

“Kes dikesan positif pada 8 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi positif,” katanya.

Bagi Kluster Bah Pengkalan, Perak, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster tersebut iaitu 14,345 dan 14,346 juga dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) sebelum dikesan positif pada 8 Oktober lalu.

“Individu terbabit dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan saringan kontak rapat mengenal pasti lima lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Beliau menjelaskan Kluster Saguking, Labuan pula merupakan kes indeks ke 15,657 yang dikesan positif wabak hasil saringan kemasukan ke Hospital Labuan pada 11 Oktober lalu.

Katanya saringan kontak rapat mengenal pasti empat lagi individu positif Covid-19.