Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Lantik 20 kakitangan, bantu tingkat kecekapan urus air

SHAH ALAM, 21 OKT: Lebih 20 kakitangan kontrak terdiri pelbagai latar belakang serta kemahiran bakal dilantik membantu operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Dato’ Menteri Besar berkata lantikan tersebut diyakini meningkatkan kecekapan pengurusan air serta pemantauan di lembangan sungai di negeri ini yang berdepan kekangan kakitangan.

“Sudah tentu kakitangan yang dilantik perlu memiliki kemahiran atau kepakaran antaranya mengenai perjalanan operasi air, undang-undang atau aspek penguatkuasaan.

“Lantikan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan apa yang penting tindakan segera ini bertujuan membantu kakitangan sedia ada meningkatkan kecekapan operasi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Beliau berkata pasukan operasi Air Selangor dengan dibantu Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) turut mendirikan tempat kawalan sementara di lokasi berisiko berlaku pencemaran sumber air.

“Pertambahan bilangan kakitangan dan kekerapan waktu rondaan membuktikan Kerajaan Negeri serius mengatasi isu pencemaran air di Selangor.

“Malah pemantauan 24 jam dilakukan terbukti berjaya mengurangkan risiko pencemaran dan ini dibuktikan apabila tiada kes pencemaran air direkodkan antara April hingga September tahun ini,” katanya.