Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk di KL dan Selangor paling ramai langgar SOP

SHAH ALAM, 27 OKT: Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor paling ramai dikompaun atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi membabitkan 229 individu, diikuti Selangor (162) dan Perak (94).

Beliau berkata kesalahan paling besar adalah kegagalan memakai pelitup muka dan gagal mengamalkan penjarakan sosial di tempat awam.

“Saya sentiasa mengatakan ini SOP asas yang patut dipatuhi setiap individu, tujuannya untuk melindungi diri kita sendiri.

“Sebab itu, saya amat mengharapkan SOP asas ini menjadi budaya baru dalam kehidupan bagi melindungi diri kita,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP atau arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau memaklumkan seramai 156 individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga jarak sosial (145) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (134).

“Mereka yang dikenakan kompaun atas kesalahan aktiviti di pusat hiburan ialah 96 dan lain-lain 81,” katanya lagi.