Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Penutupan Taman Eko Rimba Kanching, Chongkak dilanjut

SHAH ALAM, 27 OKT: Tourism Selangor melanjutkan tarikh penutupan Taman Eko Rimba Kanching, Rawang dan Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat kepada orang ramai bermula hari ini hingga 9 November.

Agensi memaklumkan penutupan sementara lokasi berkenaan selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kedua-dua taman eko rimba ini akan menyambung semula operasi bermula 10 November depan.

“Segala kesulitan yang timbul dari notis penutupan sementara ini adalah amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort ditutup bermula 14 hingga 27 Oktober susulan PKPB dikuatkuasakan di Selangor.