Categories
AGENDA NASIONAL

Pinda syarat bina Rumah Selangorku, galak pemaju sedia kediaman

SHAH ALAM, 30 OKT: Pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik.

Dato’ Menteri Besar berkata rumah berkeluasan minimum 1,000 kaki persegi itu dijual tidak melebihi RM250,000 seunit dengan kelengkapan asas seperti penyaman udara, kabinet dapur dan baju serta pemanas air.

“Insentif ini juga akan menarik minat pemaju untuk mempercepatkan pembinaan Rumah Selangorku seterusnya memperbanyakkan lagi stok rumah tersebut.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melalui Rumah Selangorku Harapan dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melalui Rumah Selangorku Idaman diamanahkan untuk menerajui kedua-dua konsep ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Berikut insentif lain diumumkan untuk sektor perumahan:

-RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera

-Pengenalan Smart Sewa to Ownership (2STAY) untuk membantu golongan B40 dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki rumah pertama

-Program 2STAY ini membabitkan Rumah Selangorku diperoleh daripada unit kontra percuma di bawah Program Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan