Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh daftar: UiTM salur bantuan RM100 kepada pelajar

SHAH ALAM, 4 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyalur bantuan RM100 kepada pelajar yang terpaksa berpatah balik ke kampung susulan penangguhan pendaftaran kemasukan secara fizikal.

Naib Canselornya berkata bantuan menerusi inisiatif UiTM Prihatin turut diberikan kepada penuntut yang sudah mendaftar dan terus tinggal di kolej kediaman serta di luar kolej kediaman di Shah Alam dan kampus cawangan.

“Pengurusan tertinggi universiti juga bersetuju memberi pengecualian bayaran kolej bagi bulan ini kepada semua penuntut yang memilih untuk terus tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan kampus cawangan.

“Terdapat 3,252 penuntut direkodkan mendaftar secara fizikal pada Khamis hingga Sabtu dengan 940 memilih untuk terus kekal di kolej kediaman UiTM,” kata Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif dan insentif tersebut selaras saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad supaya institut pengajian tinggi (IPT) memahami kesulitan serta kekangan dihadapi penuntut.

“Keutamaan UiTM memastikan penuntutnya kekal selamat, sihat dan tabah dengan cabaran akibat penularan Covid-19. UiTM memberi jaminan kebajikan dan keselamatan penuntut sentiasa dipantau serta diberikan keutamaan.

“Lebih penting dengan inisiatif dan insentif ini, penuntut diharap kekal tenang, tabah dan meneruskan pengajian mereka dalam suasana kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan semua IPT menangguh pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini susulan peningkatan kes pandemik.

Semalam, institusi itu menafikan kenyataan yang mendakwa pihaknya menghalau pelajar susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal.