Categories
PBT SELANGOR

Anugerah lima bintang: MBSA tekad teruskan khidmat terbaik, cekap

SHAH ALAM, 7 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tekad meneruskan perkhidmatan terbaik, cekap dan efisien melalui penyediaan pelbagai kemudahan kepada masyarakat sekitar pentadbirannya.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata kemudahan itu meliputi pejabat bergerak Shah Alam On Wheels (SAOW) yang beroperasi setiap Sabtu serta perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Shahrin Ahmad berkata pihaknya juga akan meneruskan perkhidmatan kenderaan komuniti untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta perpustakaan bergerak kepada pelajar.

“Selain itu bagi menjalin hubungan erat bersama penduduk, MBSA menubuhkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam yang beroperasi di 24 zon.

Program Hari Bertemu Pelanggan MBSA merupakan platform yang diberikan oleh MBSA untuk orang ramai menyalurkan aduan, pandangan dan cadangan bagi menambah baik sistem penyampaian. Foto ihsan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA

“MBSA menganjurkan pelbagai program komuniti untuk melahirkan komuniti yang sihat dan cergas seperti Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, program penanaman pokok serta kebun komuniti,” katanya dalam kenyataan.

Pada 5 November, MBSA berjaya mengungguli Anugerah Cemerlang Lima Bintang bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) yang diadakan secara dalam talian oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mengumpul 97.50 peratus, kejayaan itu meletakkan MBSA pada kedudukan kelima teratas daripada 152 PBT di seluruh Malaysia.

Shahrin berkata pencapaian cemerlang itu membuktikan komitmen MBSA untuk menjadi PBT terbaik sekali gus memberi motivasi dan pembakar semangat kepada seluruh warga kerjanya.

“Pengiktirafan lima bintang yang diterima dinilai berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti pengurusan organisasi, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penglibatan serta pandangan penduduk,” katanya.