Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Vaksin bukan untuk rawat tetapi cegah jangkitan – MMA

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Vaksin Covid-19 yang dijangka mula diperoleh pada suku pertama tahun hadapan, bukan untuk merawat jangkitan tetapi untuk mencegah atau melindungi diri daripada terkena penyakit berjangkit itu.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, apabila vaksin itu disuntik ke dalam tubuh manusia, ia akan membantu meningkatkan imuniti sistem badan bagi melawan penyakit.

“Oleh itu, petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat akan diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin itu, kerana mereka adalah individu yang paling dekat, terdedah, serta mempunyai risiko tinggi, ketika berhadapan dengan pesakit positif Covid-19.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lepas telah memaklumkan bahawa setiap negara akan memperoleh vaksin itu tanpa mengira status negara maju atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk Tabung Covid-19 MMA Sabah di Bangunan MMA di sini, semalam.

Beliau berkata apabila vaksin itu diperoleh kelak, harganya pasti mahal dan bukan semua mampu membelinya, justeru ia bergantung kepada peruntukan kerajaan dalam memastikan semua rakyat mendapat vaksin itu.

-BERNAMA