Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lebih 60 peratus cemar sumber air dikawal, elak henti tugas LRA

SHAH ALAM, 26 NOV: Lebih 60 peratus kes pencemaran sumber air berjaya dikawal agensi Kerajaan Negeri bermula Januari hingga 30 Oktober lalu.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata bagi tempoh berkenaan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya mengesan 20 kes pencemaran.

Ir Izham Hashim menjelaskan, daripada jumlah itu, 13 kes pencemaran dapat ditangani lebih awal sekali gus berjaya mengelakkan loji rawatan air (LRA) di henti tugas, sementara tujuh lagi tidak berjaya.

“Antara jenis-jenis pencemaran yang dikesan ialah sembilan kes akibat tumpahan minyak, tujuh kerana pencemaran bau, tiga babitkan efluen industri dan akualkultur dan satu kes kerana kekeruhan.

“Bagaimanapun sebenarnya, baru-baru ini Luas berjaya mengawal beberapa pencemaran serta mengelakkan henti tugas LRA termasuk semalam di Bandar Bukit Mahkota,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Taklimat Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih Akibat Pencemaran Bersama Media, di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hee Loy Sian.

Pada 30 Oktober lalu, Izham berkata taklimat kepada media dilakukan bagi memaklumkan langkah-langkah awal dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi mengatasi masalah pencemaran sumber air pada tahun depan.