Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Keputusan isytihar PKPB atas nasihat KKM

SHAH ALAM, 2 NOV: Keputusan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesebuah kawasan bergantung sepenuhnya atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM akan membuat penilaian risiko jangkitan Covid-19 di kawasan berkaitan sebelum dicadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika pada penilaian KKM kawasan itu mempunyai potensi tinggi dari (zon) kuning ke merah, maka mereka boleh nasihat MKN untuk menentukan kawasan itu diisytihar PKPB atau sebaliknya.

“Begitu juga untuk memutuskan sama ada lokaliti tertentu perlu penutupan sepenuhnya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tertakluk pada KKM,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas sama ada Kuala Lumpur dan Putrajaya masih akan dikenakan PKPB memandangkan kes Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan tren penurunan serta pendekatan MKN dalam mengenakan PKPB di sesuatu kawasan.