Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat di Selangor dilanjutkan hingga 31 Mac

SHAH ALAM, 16 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dilanjutkan hingga 31 Mac berkuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan turut dilanjutkan tempoh sama.

“PKPB di Sarawak pula dilanjutkan bermula hari ini sehingga 29 Mac.  Tiga negeri bertukar status PKPB kepada PKP pemulihan iaitu Kedah, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya dalam sidang media situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ismail Sabri bagaimanapaun berkata, rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan daripada PKPP ke PKPP.

“Rentas daerah dibenarkan kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nilai risko pergerakan rentas daerah, negeri – menteri

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat penilaian risiko terhadap pergerakan merentas daerah atau negeri terutamanya di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan wujud kluster baharu berkaitan aktiviti tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa ini, kerajaan belum memutuskan untuk menyekat kembali atau melaksanakan syarat baharu yang lebih ketat berkaitan pergerakan merentas daerah atau negeri.

Beliau berkata walaupun aktiviti tersebut dibenarkan ketika ini, rakyat perlu menjaga keselamatan diri dan individu lain seperti membuat ujian saringan Covid-19 secara sukarela sebelum ke kawasan lain.

“Sebelum ada keputusan eloklah kita sebagai individu untuk menjaga diri kita dan orang lain selain mengambil tindakan secara sukarela dengan membuat ujian saringan sebelum keluar sekiranya kita takut diri kita menjangkiti orang lain,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata perjalanan rentas sempadan daerah dan negeri serta terbabit dengan aktiviti sosial dilihat menyumbang kepada sekurang-kurangnya 14 kluster jangkitan Covid-19 sejak 7 Disember lepas hingga kini.

Mengulas cadangan ahli parlimen yang mahu mesyuarat Kabinet mempertimbangkan sidang khas Parlimen untuk membincangkan wabak Covid-19, Ismail Sabri berkata masih belum ada sebarang perbincangan mengenai sidang khas itu.

Beliau berkata walaupun belum ada mesyuarat khas mengenai perkara itu, strategi di bawah KKM sedang dilaksana, di samping strategi yang tidak berkaitan dengan kesihatan turut dilakukan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir disaran berhubung dengan pusat kawalan bencana di daerah terjejas bagi memastikan kelancaran program masing-masing.

Katanya, mereka akan memperoleh maklumat lengkap berhubung jumlah mangsa, lokasi yang terlibat serta jenis bantuan yang diperlukan, dan kerajaan tidak menyekat aktiviti NGO dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa memerlukan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Operasi Mais diteruskan, urusan melalui janji temu

SHAH ALAM, 22 DIS: Orang ramai yang mahu berurusan di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) diminta membuat janji temu sehingga 31 Disember ini.

Agensi berkata langkah itu dibuat susulan negeri itu masih di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pelanggan boleh mendapatkan waktu dan tarikh janji temu menerusi panggilan telefon atau e-mel kepada [email protected] .

“Mais mengambil langkah proaktif bagi memastikan urusan pelanggan tetap diteruskan namun mereka perlu mendapatkan tarikh bagi tujuan berkenaan terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan.

Waktu urusan bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang sahaja manakala bagi urusan pembayaran di kaunter kewangan dibuka sehingga jam 3 petang namun tidak memerlukan janji temu.

Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi:
1. Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dengan perkara berkaitan Baitulmal (019-3830032 / 019-2661404 / 03-55143772 / 3772 / 3773)
2. Sewaan hartanah (019-2302040 / 019-2640631 / 03-5514 3400 ext 2187)
3. Bahagian pendaftaran mualaf (014-3245146 / 03-33614000)
4. Bahagian pemulihan ar-riqab (019-2646277 / 03-33614088 / 03-33614080)
5. Bahagian kewangan (019-666 4123 / 03-55143753 / 03-55142741)
6. Unit guaman syarie – nasihat perundangan syariah dan permohonan bantuan guaman syarie (03-55143643)

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat Mais di talian 03-55142175.

Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN cawangan Cheras kembali beroperasi hari ini

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Cheras yang ditutup sementara kembali beroperasi hari ini selepas pejabat cawangan itu selesai menjalani proses sanitasi.

LHDN dalam kenyataan, bagaimanapun memaklumkan waktu perkhidmatan dan operasi di cawangan itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah terhad, dari 8 pagi hingga 1 tengah hari (Isnin-Jumaat) bagi kaunter setempat dan kaunter duti setem.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Tiga orang dibenarkan dalam satu kenderaan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Kerajaan memberi kelonggaran bagi tatacara operasi piawai (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan tiga individu dalam satu kenderaan, berbanding dua orang sebelum ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu mesitlah dengan syarat penumpang dan pemandu itu dari rumah yang sama.

“Keputusan ini dibuat selepas kita mendengar pandangan dan permohonan orang ramai untuk menambah jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian daripada rumah yang sama walaupun pihak polis sebelum ini telah memberi kelonggaran atas budi bicara mereka.

“Ini juga bagi memudahkan pihak polis membuat penguatkuasaan dan selaras dengan jumlah yang dibenarkan bagi kenderaan teksi dan e-hailing,” katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKP Pemulihan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kuasa budi bicara polis masih terpakai jika terdapat lebih tiga individu dalam sebuah kenderaan bagi keadaan tertentu misalnya membawa kanak-kanak atau warga emas.

Mengenai perayaan Hari Deepavali yang akan disambut esok, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

Jelasnya di kawasan PKPD, hanya keluarga dalam satu rumah boleh meraikan secara bersama sementara di kawasan PKPB, jiran terdekat turut dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

Bagi upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal serta upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi dan bermula dari 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Saya ingatkan SOP sempena perayaan adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri, jadi saya tak mahu ada pihak tertentu kata kita beri tekanan dan menyusahkan waktu sambutan Hari Deepavali dengan menyekat pergerakan.

“Kita tidak membezakan antara kaum dan agama untuk perkenal SOP kerana semasa Hari Raya Aidiladha, orang ramai juga terikat dengan SOP yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata polis menangkap 379 individu ingkar PKP semalam, sementara 27 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan dalam Op Benteng.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Polis Klang Utara keluar 472 kompaun langgar SOP

SHAH ALAM, 10 NOV: Ibu Pejabat Polis Klang Utara mengeluarkan 472 kompaun berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sepanjang minggu lalu.

Kompaun antara 1 hingga 7 November itu membabitkan pelbagai kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas. Individu didapati bersalah dikenakan kompaun RM1,000.

“Semua pihak diingatkan supaya mengikut SOP serta peraturan ditetapkan. Kerjasama dan kawalan kendiri semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19,” menurut kenyataan di Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor jamin barangan cukup, elakkan pembelian panik

SHAH ALAM, 8 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor jamin barang keperluan asas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencukupi.

Berikutan itu, pengarahnya menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan pembelian panik serta berbelanja secara berhemah.

“KPDNHEP Selangor akan memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan hingga membebankan pengguna.

“Operasi dan pantauan di sembilan daerah negeri ini akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan 277 anggota bagi memastikan peniaga patuh,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu hingga semalam, pihaknya meneriman 6,526 aduan termasuk 2,061 berkaitan harga barangan.

“Dalam tempoh sama kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 8,900 premis meliputi pemborong, pembekal, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam,” katanya.

Semalam, kerajaan memaklumkan PKPB di negeri ini disambung sehingga 6 Disember selaras dengan pelaksanaannya di beberapa negeri lain Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lagi PKPD di Sabah, tiga mukim di Semenanjung kena PKPB

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi baharu di Sabah, manakala tiga mukim di Perak, Terenggganu dan Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata PKPD dibuat di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan berkuat kuasa esok sehingga 19 November.

“PKPB pula diperkenalkan di mukim Parit Buntar (Perak), Rasau (Terengganu) dan Jimah (Negeri Sembilan) antara 7 hingga 20 November,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Menurut beliau SOP PKPB bagi mukim berkenaan adalah sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim berkenaan,” katanya.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Keputusan isytihar PKPB atas nasihat KKM

SHAH ALAM, 2 NOV: Keputusan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesebuah kawasan bergantung sepenuhnya atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM akan membuat penilaian risiko jangkitan Covid-19 di kawasan berkaitan sebelum dicadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika pada penilaian KKM kawasan itu mempunyai potensi tinggi dari (zon) kuning ke merah, maka mereka boleh nasihat MKN untuk menentukan kawasan itu diisytihar PKPB atau sebaliknya.

“Begitu juga untuk memutuskan sama ada lokaliti tertentu perlu penutupan sepenuhnya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tertakluk pada KKM,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas sama ada Kuala Lumpur dan Putrajaya masih akan dikenakan PKPB memandangkan kes Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan tren penurunan serta pendekatan MKN dalam mengenakan PKPB di sesuatu kawasan.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Institusi pendidikan di Lembah Klang tutup sehingga 9 November

SHAH ALAM, 26 OKT: Penutupan institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjut sehingga 9 November.

KPM berkata penutupan tersebut susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadual berakhir esok diteruskan dua minggu lagi.

“Penutupan institusi pendidikan berkenaan termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, Kolej Vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah manakala manualnya boleh dimuat turun di portal rasmi KPM, www.moe.gov.my,” katanya menerusi kenyataan.

PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Hari ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lanjutan PKPB di tiga kawasan itu selepas mengambil kira penilaian risiko penularan pandemik berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjutkan dua minggu

SHAH ALAM, 26 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual berakhir esok dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 9 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu mengambil kira penilaian risiko penularan Covid-19 di tiga kawasan terbabit.

“Penilaian risiko dijalankan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi yang berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

“Tatacara operasi piawai (SOP) PKPB yang akan digunakan adalah mengikut (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Sabah mohon PKPB seluruh negeri dilanjutkan

KOTA KINABALU, 23 OKT: Kerajaan negeri Sabah telah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu yang dijadualkan tamat Isnin ini, dilanjutkan.

Bercakap pada sidang media di sini malam ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri berpandangan pelanjutan itu penting memandangkan kes Covid-19 di Sabah masih tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi Covid-19 iaitu 528 kes daripada keseluruhan 710 kes di seluruh negara.

Pada 12 Oktober lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh Sabah dikenakan PKPB bermula 13 hingga 26 Oktober.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata setakat ini terdapat 12,720 ujian Covid-19 yang keputusannya masih belum diterima.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM26.7 juta untuk pemberian bantuan bakul makanan kepada penduduk yang berkenaan.

“Bantuan bakul makanan diberikan kepada penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan dikenakan perintah kuarantin kendiri. Hingga 2 petang tadi, sebanyak 72,823 bakul makanan telah diagihkan,” katanya.

– BERNAMA