Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri kaji bangunkan hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri masih mengkaji cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk pembangunan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata keputusan itu memerlukan kajian menyeluruh melibatkan kesan terhadap alam sekitar, ekonomi dan sosial.

“Proses pemansuhan atau pewartaan keluar hutan simpan perlu melalui proses ketat, kita kena memperhalusi semua perkara termasuk mengumpul pandangan diberikan.

“Justeru proses ini masih di peringkat Laporan Penyiasatan Awam dan sehingga kini tiada keputusan dibuat,” katanya menyampaikan ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Pada 20 Februari, Dato’ Menteri Besar berkata kira-kira 40 peratus HSKLU rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan termasuk tiada elemen hutan dara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri mencadangkan dua lokasi hutan ganti terletak di Sungai Panjang, Sabak Bernam manakala dua lagi di Kuala Selangor dan Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.

Hutan simpan yang dicadangkan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Musa iaitu kawasan hutan paya gambut terbesar di Semenanjung Malaysia.