Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama PKPS-Fama tingkat kecekapan urus bekalan makanan

SHAH ALAM, 6 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) semalam memeterai perjanjian persefahaman (MoU) secara maya.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dapat menambah kecekapan pengurusan bekalan dan rantaian pemasaran agromakanan bagi menjamin bekalan makanan negeri ini.

“Kerajaan Negeri menyambut baik kesediaan Fama untuk bersama merencana hala tuju strategik isu jaminan bekalan makanan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya (kiri) dan Dato’ Nor Azmie Diron (kanan) menyaksikan MoU antara PKPS dan Fama secara maya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menumpukan sektor pertanian adalah rakan usahasama terbaik bagi merealisasikan hasrat perkongsian pintar ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

MoU berkenaan ditandatangani EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ketua Pengarah Fama Dato’ Zainal Abidin Yang Razali.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata pengalaman dan pengetahuan teknikal Fama dalam mengendalikan kemudahan penyimpanan makanan atau pusat operasi (PO) menjadi teras kepada perkongsian strategik itu.

“PKPS sedang meneliti kaedah mengendali PO sendiri selain mengenal pasti lokasi strategik untuk membangunkan kemudahan ini supaya hasil pertanian diurus lebih baik,” katanya lagi.

Melalui MoU itu, PKPS dan Fama juga akan memanfaatkan perkongsian data pasaran, pangkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa.