Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia catat prestasi baik dalam sektor e-dagang

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Sektor e-dagang antara yang perlu dipimpin apabila Malaysia kini menunjukkan prestasi baik sekali gus memastikan rakyat sentiasa peka dalam merebut peluang digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Surina Shukri berkata Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan sektor ini malah telah menunjukkan beberapa kejayaan awal dan terus merancang beberapa strategi baharu.

Katanya berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MasterCard, Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-dompet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Syarikat teknologi dalam industri pembayaran global, Mastercard itu melaporkan Filipina berada di kedudukan kedua dengan 36 peratus, manakala kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing adalah Thailand (27 peratus) dan Singapura (26 peratus).

“Ini memberi gambaran bahawa rakyat negara ini sememangnya sudah mengamalkan transaksi tanpa tunai, antara elemen e-dagang,” katanya dalam blog MDEC Soundbytes di pautan https://mdec.my/blog/.

Surina berkata usaha ini sentiasa berterusan malah kerajaan turut menunjukkan komitmen jelas bagi mengembangkan lagi sektor e-dagang tempatan menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2021.

“Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan RM300 juta akan diperuntukkan kerajaan untuk melonjakkan lagi sektor ini iaitu RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-Dagang PKS dan usahawan mikro.

“Sebanyak RM150 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui kerjasama dengan platform e-dagang utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan memberi manfaat kepada 500,000 usahawan tempatan,” katanya.

Katanya MDEC turut mempunyai pengalaman dalam mengembangkan e-dagang melalui kerjasama dengan Kementerian Kewangan dan jalinan ini dilaksanakan ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

“Apa yang membanggakan, program dijalankan iaitu Kempen E-Dagang untuk Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Shop Malaysia Online yang digerakkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjaya meraih jualan dalam talian sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh yang singkat.

“Pada masa sama, inisiatif itu menarik penyertaan sebanyak 115,000 usahawan mikro serta PKS baharu dan sedia ada menyertai sektor e-dagang dan memberi manfaat kepada lebih 7.8 juta pengguna di seluruh negara,” katanya.

Surina berkata angka membuktikan negara berada di landasan yang tepat malah tidak mustahil prestasi baik e-dagang akan berterusan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat pelbagai golongan dan memahirkan rakyat secara digital seperti teras MDEC.

“Justeru, MDEC akan sentiasa bersama-sama rakyat Malaysia menempuh perjalanan digital yang telah kita mulakan untuk mencapai impian menjadi Nadi Digital Asean,” katanya.

-BERNAMA