Categories
AGENSI SELANGOR

Sidec lancar Top ECM edisi keenam, hargai peniaga e-dagang

SHAH ALAM, 16 OKT: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancar anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) 2021 edisi keenam dengan sokongan Affin Bank Berhad sebagai penaja utama.

Agensi berkata cara yang dilancarkan secara maya oleh EXCO industri dan perdagangan Dato’ Teng Chang Khim bertujuan memberi penghargaan kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif.

“Pedagang yang mengambil bahagian dapat memanfaatkan peningkatan pengiktirafan dan berpeluang meningkatkan penamaan jenama mereka di dalam industri.

“Peserta tahun ini berpeluang untuk memenangi Online Sales Contest yang akan berlangsung dari 3 sehingga 16 November. Sebanyak 200 syarikat disasarkan untuk menyertai pertandingan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain Online Sales Contest, Sidec berkata Livestream Contest akan dipertandingkan sebagai kategori baharu untuk menggalakkan peniaga tempatan memanfaatkan kaedah “live stream” untuk menjual produk.

Sementara itu, Chang Kim dalam ucapan pelancaran berkata banyak sektor didapati menghadapi pelbagai kesukaran disebabkan oleh pelbagai sekatan yang mengehadkan operasi perniagaan termasuk peniaga e-dagang.

“Bagaimanapun, saya gembira melihat ramai peniaga mengambil segala peluang sedia ada untuk terus memajukan perniagaan mereka dan kembali teguh melalui inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan
Negeri,” katanya.

Anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant mula diperkenalkan pada 2016 dengan penyertaan hanya seramai 60 peniaga e-dagang. Pada 2019, peserta yang disenarai pendek adalah peserta yang menerima 200 pesanan atau membuat jualan lebih daripada RM50,000 sebulan.

Manakala untuk peserta yang disenarai pendek pada 2020, kriteria mereka direndahkan kepada 100 pesanan atau memperoleh jualan sebanyak RM25,000 sebulan. Penurunan syarat kelayakan ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai peniaga kecil untuk sertai pertandingan ini.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Industri fesyen berkembang lebih maju ketika PKP dengan e-dagang

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Perang melawan pandemik Covid-19 banyak mengubah kehidupan masyarakat di negara ini, ada yang menjadi penganggur, tidak terkecuali peniaga dan usahawan, dengan ada yang terpaksa ‘gulung tikar’.

Antara yang terkesan ialah industri fesyen dan kebanyakan terpaksa menutup butik serta premis kerana beban kewangan kos sewa dan stok tinggi meskipun tidak beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih ada yang tidak mudah berputus asa, sebaliknya penerokaan platform ekonomi digital atau e-dagang menjadi batu loncatan untuk membolehkan industri itu dapat bertahan serta berkembang di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Selain itu, keberkesanan media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Tiktok menyaksikan ramai usahawan baharu mengiklan, mempromosi serta memasarkan produk di alam maya.

Antara yang menyedari betapa pentingnya platform ekonomi digital ketika pandemik ialah usahawan fesyen muslimah, Faridah Hanom Samsudin yang memanfaatkan platform maya untuk mengembangkan penawaran produk berasaskan muslimah.

Beliau yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zara Awliyah Sdn Bhd itu mengakui bahawa kuasa media sosial itu sedikit sebanyak membantu menstabilkan perniagaannya ketika krisis pandemik yang masih berlarutan ini memandangkan masyarakat banyak menghabiskan masa dalam media sosial setiap hari.

“Saya tidak dapat menafikan cara konvensional lebih bagus sebelum pandemik kerana kebanyakan pelanggan lebih suka mencuba sendiri pakaian di premis atau butik sebelum membelinya.

“Namun bagi menyesuaikan dengan norma baharu ini, ekonomi digital lebih mudah untuk diakses kerana pelanggan tidak perlu lagi keluar dari rumah namun dapat membeli-belah menerusi internet,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Faridah Hanom, menerusi e-dagang dan media sosial, peniaga bagaikan mendapat semangat untuk tampil penuh berkeyakinan, selain dapat menjangkau pelanggan di mana-mana sahaja mereka berada dengan menggunakan gajet mereka.

“Selain itu, ekonomi digital dilihat berpotensi mengembangkan kreativiti serta inovasi usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membuka peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat dalam situasi genting ini,” katanya.

PELAN SANDARAN KETIKA KRISIS

Faridah Hanom yang berkecimpung dalam dunia fesyen muslimah sejak lapan tahun lalu berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya turut berhadapan dengan situasi panik dan buntu apabila kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh pada Mac 2020 untuk mengawal penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa menutup premis perniagaan selama tiga bulan termasuk ketika bulan Ramadan.

Pada kebiasaannya sebelum pandemik, pihak beliau banyak mendapat tempahan telekung sebulan sebelum Ramadan sehinggalah kepada hampir Hari Raya Haji.

“Jualan kami memang menurun sebanyak 20 peratus ketika bulan pertama PKP kerana pada masa itu kami panik dan masih lagi dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, terutamanya dari segi mengagihkan semula tenaga kerja, pemindahan stok untuk pembungkusan serta tempoh penghantaran terjejas.

“Mujur saya pernah mempelajari selok-belok perniagaan daripada mereka yang arif sebelum ini dan saya mengamalkan ilmu itu untuk kekal fokus kepada apa yang perlu dilakukan, termasuk menukarkan kepada perniagaan dalam talian 100 peratus berbanding 80 peratus sebelum PKP,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menggerakkan kira-kira 1,800 agen di seluruh negara, termasuk Brunei, Singapura dan Filipina, untuk meningkatkan kadar jualan menerusi media sosial dan menjalin hubungan baik dengan pelanggan ketika PKP.

“Jika sebelum ini ‘Facebook live’ sekali sehari dan keluar berjumpa dengan pelanggan namun ketika PKP, kami meningkatkan bilangan ‘Facebook live’ itu sebanyak lima hingga enam kali.

“Oleh kerana kebanyakan promosi telekung kami sebelum ini lebih kepada persediaan untuk jemaah umrah dan haji, namun sejak PKP promosi itu tidak dapat dilaksanakan maka kami gantikan dengan promosi berkonsepkan hadiah kepada yang tersayang.

“Kami turut menawarkan pembungkusan yang cantik untuk menarik perhatian pelanggan menerusi ‘Facebook Live’ dan membuat peraduan serta kempen eksklusif untuk meningkatkan jualan kami ketika PKP,” katanya yang menambah hasil jualan meningkat sebanyak 20 peratus pada bulan Januari hingga Jun lalu.

Faridah Hanom berkata komunikasi sesama agen, dropship dan kakitangan pengurusan menerusi media sosial sangat penting kerana meskipun tidak dapat bersemuka untuk merancang hala tuju, namun pengurusan stok dan perkhidmatan pelanggan ketika PKP dapat dilakukan.

“Dalam perniagaan fesyen secara dalam talian, kerjasama dengan semua pihak amat penting dan saling bantu-membantu dapat menjalinkan hubungan sesama industri kerana jika dalam keadaan kesusahan, senang untuk meminta dan menghulurkan bantuan antara satu sama lain.

“Selain itu, saya sentiasa memastikan ada pelan sandaran jika berlaku sesuatu krisis. Contoh, jika ada pembekal tidak dapat menghantar kain dari Indonesia dan Korea dalam masa yang ditetapkan, kami akan berusaha untuk membeli kain dahulu daripada kedai tempatan lain untuk menjahit telekung kami,” katanya.

Faridah Hanom berkata walaupun kebanyakan usaha terpaksa menghadapi pelbagai dugaan ketika PKP, namun ia tidak harus dijadikan sebagai halangan sebaliknya harus dilihat sebagai ‘hikmah’ dan ujian dalam perjalanan hidup.

“Setiap perniagaan mesti ada pasang dan surutnya, jika terpaksa ditutup akibat PKP, tidak mengapa, bangkit semula dan mulakan kembali dengan modal kecil menerusi platform ‘e-commerce’.

“Belajar melalui pengalaman dan tidak berputus asa, jika mereka baru mahu berjinak-jinak dalam keusahawanan, jadilah dropship dulu kumpul pengalaman barulah mengembangkan perniagaan mereka secara berperingkat,” katanya.

KEKALKAN TENAGA KERJA KETIKA PKP

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SK), Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, pihaknya turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melonjakkan ekonomi digital namun masih kekal positif dalam perniagaan mereka.

Beliau berkata, walaupun ketika PKP banyak sektor ekonomi terjejas, namun pihaknya mampu menjana keuntungan sehingga 20 peratus lebih tinggi daripada sebelum PKP pada tahun lepas.

“Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 37 cawangan butik SK terpaksa ditutup di seluruh negara, namun kami berusaha menggerakkan kesemua kakitangan cawangan untuk dijadikan dropship sepanjang PKP untuk melariskan jualan.

“Bersyukurlah kami dapat melalui kesukaran ini dan meneruskan operasi dengan menukar kedai kami kepada e-dagang sepenuhnya. Kami memperhebatkan usaha untuk berhubung dengan pelanggan kami dan menyediakan penghantaran pesanan pada hari yang sama, dan sambutannya amat menggalakkan,” katanya sambil menambah, produk utama SK adalah telekung sementara produk sampingan terdiri daripada kategori pakaian, sejadah, aksesori dan tudung.

Menurut Mohammad Muhaimin, selain menggerakkan staf sebagai dropship, pihaknya juga turut mengadakan kursus penggunaan media sosial dan platform e-dagang kepada lebih 300 orang dropship sedia ada di setiap negeri bagi menggerakkan penjualan produk, terutamanya ketika musim perayaan.

“Kemahiran seperti Facebook Marketing, Headquarters branding marketing campaign, Whatsapps business dan sebagainya, kita hantar yang pakar untuk mengajar kemahiran asas dan kemahiran copywriting untuk menarik perhatian pelanggan.

“Kami mengadakannya secara berterusan sehinggalah pada PKP 3.0 baru-baru ini, kebanyakan kakitangan butik cawangan bergerak sebagai pasukan dalam talian untuk mencapai sasaran jualan mereka.

“SK bersyukur kerana kemudahan moratorium pinjaman dan pelbagai bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu kebanyakan usahawan PKS untuk terus bertahan ketika pandemik,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, walaupun kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pinjaman kredit kepada golongan terjejas, namun sebagai usahawan PKS, mereka tidak seharusnya bergantung 100 peratus kepada kerajaan.

Usahawan PKS, kata beliau, perlu mempunyai pelan jangka panjang dan pelan sandaran bagi mengatasi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.

“Sentiasa berusaha untuk belajar perkara baharu kerana sudah pasti bukan semua krisis yang kita hadapi adalah sama, contohnya seperti pandemik Covid-19, ia merupakan perkara baharu dan semua orang tidak sangka akan penutupan secara besar-besaran akibat PKP.

“Sentiasa berani melakukan perubahan dengan kreatif dan berinovasi kerana semua orang sedang bersaing antara satu sama lain untuk meneruskan perniagaan mereka ketika pandemik, jika kedai fizikal tutup, lakukan secara digital,” katanya.

BIJAK MENGURUSKAN KEWANGAN

Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Noorul Azwin Md Nasir berkata usahawan harus bijak mengambil peluang mengatasi cabaran tanggungan kewangan lebih baik akibat PKP.

Menurut beliau, usahawan yang terkesan akibat pandemik boleh meneliti pelbagai bantuan kerajaan seperti Sistem Insurans Pekerjaan, Program Pengekalan Pekerjaan dan Subsidi Upah bagi mengelakkan pemberhentian pekerja mereka secara besar-besaran seterusnya menyebabkan hilang punca pendapatan.

“Banyak perniagaan menambah stok pada awal tahun sebagai persediaan menghadapi musim perayaan dan ia akan memperlihatkan peningkatan jumlah hutang pembekal yang rata-rata memberi tempoh hutang sekitar satu hingga tiga bulan.

“Mungkin lebih menguntungkan usahawan berhutang dengan pembekal berbanding dengan bank atau agensi kewangan dalam mendapatkan modal pembelian stok. Ini kerana dari perspektif kadar faedah, tiada faedah dikenakan ke atas kelewatan bayaran. Pembekal juga cenderung memberikan diskaun sekiranya bayaran dilangsaikan lebih awal,” katanya.

Beliau menambah, meskipun sesetengah usahawan mendapat kelulusan bantuan serta penangguhan bayaran moratorium, mereka masih perlu mencari jalan menampung kekurangan pendapatan ataupun kerugian dengan kadar segera.

“Sebahagiannya mula berkecimpung dalam bidang atau industri dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Ia bukanlah untuk tempoh panjang, tetapi untuk pulih lebih cepat berbanding pesaing,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Strategi atasi masalah logistik

(ADVERTORIAL)

Sebagai peniaga e-dagang, anda mungkin berdepan kerenah pelanggan yang mengadu barangan yang dibeli tidak sampai tepat pada masanya walaupun anda telah melakukan segala-galanya untuk mengelakkan situasi itu.

Jika pernah melalui pengalaman itu, anda dicadang mempelajari strategi beberapa pakar e-dagang berkaitan logistik. Justeru, layari Sidec TV, sebuah laman khas pembelanjaran kendiri mengenai
e-dagang.

Laman itu menampilkan pelbagai video untuk membantu peniaga e-dagang memperoleh pengetahuan berkaitan logistik. Hanya tonton video yang menampilkan empat pakar e-dagang, masalah itu mampu diselesaikan sebaik-baiknya.

Misalnya, Alyaa Liyana dari Ninja Van berkongsi cara-cara memilih perkhidmatan kurier untuk perniagaan dari perspektif keperluan pelanggan, operasi dan perbelanjaan. Tersilap pilih boleh mengakibatkan gangguan dan masalah modal pusingan.

“Kalau sistemnya sudah selaras, peniaga tidak perlu memasukkan maklumat, jadi operasi berjalan lancar tanpa kesilapan peniaga itu sendiri.

“Dari aspek kewangan pula, tanya kaedah bayaran syarikat penghantaran terlebih dahulu. Adakah sebulan sekali atau dua bulan sekali?” katanya.

Ketua Pegawai Komersial iStore iSend Tommy Yong pula berkongsi aspek komponen penting jualan dalam talian iaitu marketplace dan logistik. Beliau juga mengingatkan peniaga mengenai aspek keperluan asas untuk memenuhi kepentingan logistik dan cara-cara memperbaiki operasi perniagaan.

Pengurus pembangunan perniagaan Pickupp.io Dhanush Prithvi pula berkongsi trend makro yang menggalakkan penghantaran lebih pantas selain penggabungan logistik untuk penjimatan kos dan jaminan keselamatan.

“Perkhidmatan juga dilengkapi sistem pengesanan dan penghantaran dalam waktu nyata yang memudahkan pelanggan melihat pergerakan barangan, jadi ia lebih selamat,” katanya.

Dhanush juga bercerita mengenai penggabungan logistik dan memenuhi rantaian nilai serta kaedah menjimatkan kos melalui kapasiti dinamik dan pengoptimuman masa.

Syed Faisal Alkaff yang mengetuai Janio.asia pula mendedahkan cabaran penghantaran barangan ke Asia Tenggara termasuk kos dan urusan kastam.

“Kalau jualan barangan kian meningkat dan konsisten, harus buat persediaan awal kerana ia membabitkan pelbagai prosedur termasuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk import barangan,” jelasnya.

Beliau juga menyenarai sebahagian barangan yang kerap dibeli penduduk Asia Tenggara selain potensi pengeksportan barangan Malaysia ke luar negara.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perihal berkaitan logistik, layari https://www.sidec.com.my/sidectv/ dan tonton video-video yang berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidec TV dedah rahsia penulisan e-dagang

(ADVERTORIAL)

Ingin ceburi perniagaan e-dagang tetapi bingung bagaimana membuat teknik pemasaran berkesan bagi menarik pelanggan?

Usah malu kerana ramai peniaga e-dagang selalu tertanya-tanya kaedah menarik perhatian pelanggan terhadap produk mereka.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melalui Sidec TV menyediakan pembelajaran kendiri mengenai e-dagang.

Ini termasuk penulisan efektif untuk memancing perhatian pengguna media sosial. Apatah lagi, tulisan pemasaran kandungan atau content marketing memainkan peranan penting.

Tulisan sedemikian meliputi yang relevan dan kreatif.

Menariknya, pengetahuan mengenai penciptaan kandungan yang relevan dan kreatif boleh didapati dengan mudah, hanya melalui Sidec TV. Bahkan, peniaga e-dagang boleh memilih pelbagai video untuk mencungkil rahsia teknik itu.

Sidec TV menyediakan video khusus mengenai content marketing untuk tontonan peniaga e-dagang.
Penceramah terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi Beyond Infinity Consultancy Asia, Sam Kon dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Biz Institution (M) Sdn Bhd, Chia Chia.

Mengikut Sam Kon, ciri-ciri penulisan menarik dan mudah difahami sangat penting. Paparan video pendek yang kreatif pasti mencuri tumpuan pelanggan.

Namun, peniaga e-dagang harus memastikan penulisan itu tiada unsur penipuan sebaliknya disulami strategi bijak. Untuk itu, ciptakan penulisan yang efektif dengan memahami tingkah laku pengguna digital.

Gambar produk pula sebenarnya pintu utama untuk mengetuk minat pelanggan. Contoh, penjual pelitup muka menerangkan ciri-ciri unik produk, umpamanya antikuman dan antihabuk.

Sememangnya, gambar yang menawan mudah memikat hati pelanggan. Tetapi ingat, jangan memuat naik foto yang mengelirukan, antaranya jualan hanya 10 keping pelitup muka satu set tetapi tonjolkan foto 40 keping pelitup muka. Pembeli mungkin rasa terpedaya dan akan membuat aduan.

Selain itu, Chia Chia pula merujuk peranan influencer media sosial yang menggunakan kandungan (content) untuk menarik perhatian. Apabila menjadi tumpuan, jenama produk lebih dikenali.

Bagi yang tidak mahir menghasilkan kandungan kreatif, Chia Chia menyarankan mereka menggunakan Facebook Live untuk mempromosi produk. Mereka juga boleh menggunakan semula video yang telah diterbitkan itu.

Berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai content marketing? Cepat layari https://www.sidec.com.my/sidectv/

Siap sedia untuk menarik minat seramai mungkin pelanggan untuk memajukan perniagaan anda!

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima video e-dagang wajib tonton

(ADVERTORIAL)

Menjadi usahawan berjaya memerlukan pelbagai kemahiran untuk mengharungi cabaran dalam dunia perniagaan.

Usah risau, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menyediakan segalanya untuk anda, dari langkah pertama hingga mampu meluaskan perniagaan e-dagang anda.

Sidec sedia membimbing usahawan menjadikan impian suatu realiti. Melalui laman khas pembelajaran kendiri e-dagang – Sidec TV – anda boleh memilih pelbagai video untuk menambah ilmu di dada.

Bahkan, Sidec telah mengenal pasti lima video terbaik yang harus ditonton sebelum memulakan langkah perniagaan. Sebagai pemula, tontoni video berjudul Pengenalan kepada e-Dagang.

Di situ, usahawan baharu mahupun yang lama menceburi dunia niaga berpeluang mempelajari selok-belok dunia perniagaan digital. Maka, mereka boleh mengambil iktibar atas bermacam-macam kesilapan.

Ia menampilkan pengasas ViralNiaga.com Sifu Nizzura dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro (AUM) Azharee Wahid. Tidak ketinggalan, pengasas bersama Calaqisya Sdn Bhd Hazwan Faiz. Semangat anda pasti membuak-buak selepas menonton video tersebut.

Setelah mempelajari asas perniagaan e-dagang, anda disaran menonton video kedua iaitu Pengurusan Produk – Bahagian Satu. Pelbagai teknik pengurusan produk dikongsi kepada usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bomstart Media Sdn Bhd, Zulkifli Abdullah tampil mengenai kepentingan pengurusan produk dan perkhidmatan teratur yang pastinya penting di mata pelanggan.

Video sama juga mengajak anda menimba tips penceramah jemputan Nidzam Harjoh selaku pengasas BrandHack dan Imtiyaz Subhi serta pengurus pemasaran Umma & Nita Cosmetics.

Seiring perkembangan media sosial dan laman e-dagang, video berjudul Pemasaran Digital banyak membantu meluaskan capaian pelanggan ke seluruh pelosok dunia.

Seperti diketahui umum, kebanyakan peniaga e-dagang menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mempromosi, menjual produk dan perkhidmatan.

Pengiklanan berkesan mampu menggamit pelanggan baharu apabila pelanggan kagum dengan reaksi pembeli terdahulu seterusnya mereka ringan tangan membeli produk.

Sifu Munir dari Sifufbads Sdn Bhd merupakan mentor sesi ini. Turut sama ditampilkan, Sulaiman Mokhtar dari Avana.asia dan usahawan e-dagang Sharifah Anis Syed Zainal Abidin Al-Idrus.

Video keempat adalah Perniagaan Melalui Media Sosial. Topik ini membantu perniagaan e-dagang berkembang dengan lebih mekar.

Kejayaan perniagaan melalui media sosial diukur dengan sejauh mana pengguna berinteraksi melalui butang ‘like’ dan ‘share’.

Video kelima iaitu Pemasaran Viral pasti dinanti-nantikan. Pemasaran tular sebenarnya kaedah untuk mewujudkan ‘buzzwords’ atau pemasaran yang memancing perhatian, dikenang dan lekat dalam ingatan.

Kaedah itu lazimnya menggunakan media sosial, sistem pesanan ringkas (SMS) dan video untuk menyebar maklumat sama ada berbentuk artikel, produk atau perkhidmatan. Apabila tular, ia tersebar luas kepada warga maya dalam masa singkat.

Jadi, tunggu apa lagi? Pastikan anda menonton video-video tersebut untuk memulakan langkah pertama mahupun mengembangkan perniagaan e-dagang.

Jangan lepaskan peluang keemasan. Layari www.sidec.com.my/sidectv/

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri rancang dua lagi kempen e-dagang tahun ini

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Selangor merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya dua lagi kempen e-dagang pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan bergantung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rancangan promosi jualan oleh Shopee dan Lazada.

“Saya rasa untuk tahun ini paling kurang satu atau dua lagi kempen kita boleh laksanakan terutama ketika jualan penghujung tahun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media maya hari ini.

Sejak tahun lalu, Kerajaan Negeri bersama Shopee dan Lazada menganjurkan empat kempen e-dagang yang mencatatkan RM2.95 bilion kesan kepada ekonomi negeri, termasuk RM144.7 juta jualan terus.

Kempen e-Bazar Raya Selangor dan e-Bazar 11.11 Selangor diadakan tahun lalu, manakala kempen e-Bazar Tahun Baharu Cina dan e-Bazar Raya Selangor pada tahun ini.

Platform itu bagi membantu peniaga menjana pendapatan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memenuhi keperluan pengguna.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Beli barang dapur hanya di hujung jari

Pembelian pelbagai produk seharian termasuk barangan dapur tidak lagi sukar sekalipun Perintah Kawalan Pergerakan penuh dilaksanakan mulai 1 Jun.

Melalui wadah e-dagang termasuk milik Kerajaan Negeri, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian hanya di hujung jari.

Amalan itu sekali gus menghindar risiko jangkitan Covid-19 selain menjimatkan masa dan tenaga. Malah, sebahagian produk lebih murah berikutan promosi bagi menggalakkan pengguna membudayakan nirtunai (cashless).

Seldec.com.my

Dilancar Kerajaan Negeri pada 3 Oktober 2019, pelanggan boleh membeli pelbagai barang keperluan antaranya daging segar, peralatan rumah, makanan diproses, makanan sejuk beku termasuk kuih-muih.

Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) juga memasar hasil tani produk usahawan kecil secara meluas.

Seldec turut menawarkan barangan yang sukar peroleh dalam pasaran antaranya ikan patin, tempoyak, sambal hitam Pahang dan rempah gulai nasi dagang.

Pelbagai promosi seperti penghantaran percuma dan potongan harga juga dibuat secara berkala. Layari Facebook Seldec untuk maklumat lanjut.

AgroShop.my

Laman web ini usahasama antara Persatuan Agroprenuer Selangor (AgroSel) dan AgroShop Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta.

Mula beroperasi pada April, sebanyak 1,000 produk disasar dijual menerusi platform berkenaan hingga hujung tahun.

Bertema ’Segar dari ladang terus ke rumah anda’, ahli-ahli AgroSel boleh menjual hasil pertanian dan barangan secara percuma.

Turut dijual barangan kesihatan, buah kering, makanan laut dan pelbagai jenis serunding.

Sempena jualan tanggal 6.6, potongan harga enam peratus diadakan sepanjang Jun.

Eshop.tesco.com.my

Platform ini menawarkan pelanggan pilihan alternatif untuk membeli barangan runcit melalui rangkaian produk termasuk bahan segar, sejuk beku dan barangan am.

Pembeli boleh berbelanja dengan hanya beberapa klik dan menerima produk berdasarkan slot masa atau lokasi pilihan.

Harga penghantaran biasanya serendah RM7 dan dihantar antara jam 8 pagi hingga ke petang.

Lingkungan penghantarannya luas kerana cawangannya ada sekitar Lembah Klang. Kos pula agak rendah.

Happyfresh.com

Menawarkan lebih 20 pasar raya yang boleh dikunjungi secara maya antaranya Village Grocer, Aeon, Tesco, Cold Storage, Isetan, Giant dan Mercato.

Selain barangan dapur, ia turut menyediakan pelbagai produk kecantikan atau kesihatan.

Portal itu diwujudkan bagi memudahkan orang ramai membeli-belah sambil menjimatkan masa.

Selain laman web, pengguna boleh membuat belian melalui aplikasi HappyFresh-Grocery Delivery dengan memuat turun di App Store atau Play Store.

Untuk pelanggan baru, anda boleh mendapatkan penghantaran percuma menggunakan kod promosi.

Grab

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, Grab Malaysia membuat promosi Minggu Peniaga Kecil yang bertujuan mengetengah perniagaan kecil-kecilan melalui GrabFood.

Pengguna juga boleh mendapatkan penghantaran percuma antara 25 Mei hingga 7 Jun.

Selain makanan dan minuman, turut ditawarkan ialah barangan, farmasi, barangan bayi, barangan runcit dan perkakasan rumah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLATS 2.0 bantu peniaga cari rezeki ketika PKP

SHAH ALAM, 3 JUN: Platform Selangor (PLATS) 2.0 diteruskan bagi memberi peluang kepada penjaja dan peruncit menjual bahan makanan serta minuman.

Dianjur Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, platform maya itu dapat menggerakkan ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dibuat dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Yayasan Hijrah Selangor, kedua-duanya anak syarikat Kerajaan Negeri, selain Grab Express.

Menerusi PLATS 2.0, penjaja dan peruncit juga boleh mempelajari asas berkaitan pendigitalan, menerima bantuan pembiayaan serta latihan keusahawanan.

Untuk penyertaan, mereka boleh mendaftar melalui laman sesawang www.platselangor.com dengan melengkapkan butiran perniagaan.

Seterusnya, peniaga dan peruncit diminta memuat naik foto kedai dan menu jualan sebelum pendaftaran PLATS 2.0 diproses.

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar perniagaan melalui saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) ketika tinjauan pada 19 April 2021. /Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

Orang ramai yang mahu membuat tempahan hanya perlu mengakses laman sesawang itu, memilih kedai seterusnya memesan juadah dan membuat bayaran melalui kaedah e-dompet atau terus ke akaun bank.

Juadah kemudian boleh diambil sendiri atau menggunakan perkhidmatan penghantaran Grab Express.

Pada bulan lalu, Ketua Pegawai Operasi MBI Soffan Affendi Aminudin berkata PLATS adalah usaha mengubah nasib 75 peratus daripada 22,000 penjaja melalui saluran e-dagang supaya mereka boleh memiliki kedai sendiri.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua kategori iaitu berpendapatan bawah RM100 sehari dan lebih RM100 sehari manakala kategori tiga pula memiliki satu premis kedai serta keempat memiliki rangkaian kedai.

“Kami menyasarkan golongan satu dan dua dapat mengubah perniagaan mereka menjadi golongan tiga serta empat. Kesan ekonomi menjadi luas jika kita latih mereka berada di dalam platform yang betul (PLATS).

“Mereka adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan mengubah mereka kepada pendapatan sederhana (M40) adalah kejayaan yang besar untuk negeri ini,” katanya.

PLATS 2.0 diperkenal bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April, Dato’ Menteri Besar berkata program yang diperkenal pada Ramadan tahun lalu diteruskan lagi bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program PLATS 2.0 tidak hanya berlangsung ketika Ramadan sebaliknya dijalankan sepanjang masa

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Dusun Tua bantu peniaga beralih digital

SHAH ALAM, 30 APRIL: Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof membantu peniaga untuk ‘berhijrah’ ke dunia pendigitalan, wahana baharu urusan jual beli.

Bantuan kepada usahawan dijayakan menerusi program Wira Usaha yang diperkasa tahun ini berikutan ramai peniaga terjejas. Individu hilang pekerjaan menceburi bidang perniagaan.

Edry Faizal mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan penyedia e-dagang seperti Shopee bagi mendekatkan usahawan dengan selok belok perniagaan dalam talian.

Bukan mudah mengajak peniaga mengubah tabiat, ditambah pula liputan internet terutama dari Batu 1 hingga 16 di Hulu Langat kurang memuaskan.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mengadakan kerjasama dengan Yezza, wadah berasaskan komunikasi WhatsApp bagi menggamit bilangan pelanggan.

Program Wira Usaha membantu pemulihan ekonomi dan peniaga kecil sekitar kawasan Dusun Tua melalui aktiviti perniagaan dalam talian. Poster Facebook Edry Faizal

“Kita pantau perkembangan peniaga supaya mereka benar-benar dapat mengendalikan perniagaan dalam dunia pendigitalan. Inilah pilihan perlu dimanfaatkan untuk terus kekal berdaya saing,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau juga menggesa syarikat telekomunikasi memajukan capaian internet bagi membantu peniaga. Walau Dusun Tua letaknya di pinggir bandar tetapi sebahagian kawasan liputan kurang memuaskan.

Edry Faizal turut membantu golongan yang berdepan masalah lokasi niaga. Ramai membuka gerai di tepi jalan termasuk di parkir kenderaan.

Keadaan itu menimbulkan konflik dengan penduduk setempat. Sebagai wakil rakyat, beliau mewujudkan situasi menang-menang.

Justeru, Edry Faizal mencadangkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengubah suai lorong belakang untuk dijadikan tapak niaga.

“Kita boleh ubahnya menjadi tempat perniagaan. Mungkin ada peniaga tidak mahu berpindah ke tempat lain kerana lokasi sedia ada ramai pelanggan tetapi kalau dipindahkan ke lorong belakang berhampiran mungkin mereka bersetuju.

“Bukan sahaja jadi tempat berniaga tetapi mungkin tarikan baharu di Dusun Tua ini, orang ramai boleh berkunjung selepas ia dicantikkan. Ini dapat menjana lebih banyak pendapatan kepada penduduk,” katanya.

Beliau juga meneruskan program bank makanan yang diperluas kepada hidangan bermasak yang disediakan secara bergotong-royong pada hujung minggu untuk disalur kepada golongan terjejas termasuk penghuni maahad tahfiz.

Penduduk Dusun Tua bertuah kerana usaha Edry Faizal mendapat perhatian penyumbang yang menderma ayam untuk diagih. Bantuan sayur-sayuran dan ikan keli kian bertambah.

Beliau juga mahu memfokus aspek prasarana pangsapuri dan premis berstatus strata. Edry Faizal mendapati banyak badan pengurusan bersama (JMB) mengalami masalah penyelenggaraan.

“Banyak kemudahan seperti alat permainan di taman tidak dibaiki kerana JMB menghadapi masalah kekurangan dana. Mereka tidak boleh mohon bantuan pihak berkuasa tempatan kerana di luar bidang kuasanya.

“Dalam aspek ini kita bantu dengan memperbaiki kemudahan itu supaya dapat digunakan penghuninya,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis lumpuh sindiket tipu tawar gaji lumayan guna platform e-dagang

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan separuh masa menerusi platform e-dagang dengan penahanan sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada 15 April lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Supt Mohd Mahidisham Ishak berkata kesemua suspek berusia lingkungan 17 sehingga 37 tahun ditahan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan untuk ‘memancing’ orang ramai terutamanya golongan muda menerima tawaran pekerjaan dengan diberikan komisen lumayan.

“Sindiket yang aktif sejak Mac lepas ini akan menjerat mangsa dengan menyebarkan mesej tawaran kerja sebagai pembeli melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam sebuah grup talian komunikasi yang kebanyakannya terdiri daripada ahli sindiket itu bagi meyakinkan mangsa mengenai tawaran pekerjaan itu.

“Mangsa kemudian akan diarahkan membeli barangan di platform e-dagang dan setiap barangan yang dibeli akan dibayar bersama dengan komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barangan oleh sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 57 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba dan tujuh komputer untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan sindiket ini dalam kes penipuan di platform e-dagang.

Mohd Mahidisham berkata 67 kertas siasatan melibatkan modus operandi yang sama dengan sindiket ini dibuka di seluruh negara dengan nilai kerugian RM689,835.

Beliau berkata polis sedang memburu dua lelaki berusia lingkungan 30an yang disyaki dalang sindiket ini, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta supaya menghubungi balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Capaian internet isi rumah meningkat kepada 91.7 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peratusan capaian isi rumah kepada internet meningkat kepada 91.7 peratus pada 2020 berbanding 90.1 peratus pada 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020.

“Survei yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mana penggunaan internet dalam kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir turut maklum aktiviti internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial.

Bagaimanapun semasa pandemik, penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti pembelajaran, e-kesihatan, e-kerajaan, e-dagang dan hiburan.

“Aktiviti yang berkaitan dengan perkhidmatan itu membuat pesanan barangan atau perkhidmatan atas talian; mendapatkan maklumat kesihatan; menggunakan perbankan internet; menjalani kursus tidak formal atas talian; menjalani kursus formal atas talian; membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang; menonton televisyen secara dalam talian; dan mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan, yang secara signifikan meningkat melebihi 7.0 mata peratus,” jelas beliau.

Mohd Uzir berkata peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian seperti melalui telefon, Whatsapp dan Facebook juga telah meningkat kepada 54.4 peratus pada 2020 daripada 22.5 peratus pada 2019.

Semasa pandemik Covid-19, penggunaan internet untuk mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan telah meningkat sebanyak 12.0 mata peratus pada 2020, dengan 61.9 peratus pengguna internet mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan berbanding 45.2 peratus pada 2019

Mohd Uzir berkata kira-kira 61.9 peratus masyarakat Malaysia menggunakan perbankan internet pada 2020, bertambah 11.4 mata peratus daripada 50.5 peratus pada 2019.

Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran dalam talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus tidak formal dalam talian meningkat 11.3 mata peratus daripada 9.5 peratus kepada 20.8 peratus pada 2020.

Sementara itu, peningkatan yang ketara dalam peratusan individu yang mengikuti kursus formal dalam talian iaitu daripada 8.1 peratus pada 2019 kepada 18 peratus pada 2020.

Mengenai e-dagang, Mohd Uzir berkata pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang seperti Shoppe, Lazada dan Grab telah meningkat kepada 45 peratus pada 2020 daripada 35.2 peratus pada 2019.

“Peratusan pengguna internet menggunakan saluran e-kerajaan bagi mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan turut meningkat sebanyak 7.4 mata peratus daripada 45.5 peratus pada 2019 kepada 52.9 peratus pada 2020,” jelas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kempen e-dagang Selangor catat jualan positif, lahir 52,748 usahawan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Tiga kempen e-dagang Kerajaan Negeri berjaya mencatat jualan memberangsangkan serta melahirkan ribuan peniaga baharu, kata EXCO industri dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia membabitkan kempen Selangor e-Bazar Raya 2020, Selangor e-Bazar 11.11 dan Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

“Hasil jualan langsung bagi ketiga-tiga kempen itu ialah RM79.7 juta dengan kesan riak sebanyak RM2.003 bilion kepada ekonomi negeri.

“Lebih membanggakan, sebanyak 160,094 peniaga berjaya ditarik dengan 52,748 daripadanya adalah peniaga baharu,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata kejayaan itu membuktikan agenda ekonomi digital yang diterajui Kerajaan Negeri telah membantu peniaga menjana lebih banyak pendapatan.

Menurutnya, perniagaan dalam talian membolehkan mereka menjana perniagaan walaupun ketika pandemik Covid- 19.

“Kerajaan Selangor membuat jaminan bahawa kedua-dua komuniti perniagaan dan pengguna akan mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif serta kempen yang diperkenalkan,” katanya.