Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor ambil tindakan tegas pihak terlibat cemar air

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam insiden pencemaran sumber air mentah negeri ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam mesyuarat semalam.

“Dato’ Menteri Besar memaklumkan beliau dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan isu gangguan bekalan air.

“Selain itu, Kerajaan Negeri akan mempertimbang tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam pencemaran sumber air mentah di Selangor,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pihaknya turut memberi beberapa cadangan dan pandangan termasuk rungutan serta kegusaran warga Lembah Klang yang terkesan dengan kejadian itu.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.

Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam.