Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri harap pesta cahaya dirai harmoni

SHAH ALAM, 13 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berharap pesta cahaya kali ini disambut dengan suasana harmoni, hormat-menghormati dan bersatu padu dalam norma baharu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin juga menyeru semua pihak berdisiplin dalam meraikan perayaan Deepavali bagi mengelak penularan Covid-19.

“Baginda merayu agar semua pihak terus berjaga-jaga dan berdisiplin dalam meraikan apa jua perayaan memandangkan wabak berbahaya Covid-19 masih lagi menular di segenap pelusuk negara,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda juga berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu yang meraikannya.

“Semoga cahaya yang menjadi simbol perayaan Deepavali ini mampu menyinari semangat perjuangan sekalian rakyat dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan mendatang. Deepavali Valthukkal,” titah baginda.