Categories
ADN SELANGOR

3,000 pelajar B40 DUN Paya Jaras terima bantuan kelengkapan sekolah

SHAH ALAM, 15 DIS: Seramai 3,000 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras akan menerima bantuan kelengkapan sekolah sempena program Kembali ke Sekolah bagi sesi 2021.

Ahli Dewan Negeri Mohd Khairuddin Othman berkata sumbangan berupa baju sekolah, kasut, stokin, pelitup muka dan beg disalurkan dalam dua fasa iaitu pada 21 Disember dan 20 Januari tahun depan.

“Serahan bantuan ini disasarkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40). Kita harap dengan sumbangan ini ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata orang ramai yang ingin memohon boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras.

Tambahnya, pemohon mesti memenuhi kriteria utama iaitu ibu bapa dibuang kerja atau tidak bekerja serta ibu tunggal yang mempunyai anak yang masih bersekolah.