Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

3,000 petugas barisan hadapan bakal terima baucar pelancongan RM200

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebanyak 3,000 baucar pelancongan bernilai RM200 setiap satu bakal diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Selangor pada awal tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif berjumlah RM600,000 tersebut sebagai menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus bekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

“Petugas barisan hadapan antaranya daripada Kementerian Kesihatan, polis serta tentera bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat, jadi insiatif ini sedikit sebanyak menggembirakan mereka.

“Kita akan berhubung dengan ketua jabatan masing-masing untuk memilih siapa yang layak menikmati baucar ini,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Pelancongan Domestik ‘Pusing Selangor Dulu’ di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini.

Pada 13 Julai, Kerajaan Negeri mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta yang boleh ditebus di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Baucar tersebut boleh ditebus menerusi platform e-dompet Touch ‘n Go dan Lazada.