Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 3,719 pekerja asing zon merah Klang, Seremban disaring – Perkeso

KLANG, 9 DIS: Seramai 3,719 pekerja asing di kawasan zon merah di Daerah Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan telah disaring sejak 1 Disember lepas sehingga semalam, menerusi Program Saringan Covid-19 bagi Pekerja Asing ​Secara Bersasar.

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Permulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr Azlan Darus berkata jumlah berkenaan akan terus meningkat apabila program saringan itu diperluaskan ke zon merah lain bermula hari ini.

“Bermula hari ini, majikan di kawasan zon merah di negeri ini antaranya Hulu Langat, Petaling, Gombak serta Kuala Lumpur boleh mula menghubungi klinik-klinik yang berdaftar dengan Perkeso bagi program ini.

Sehingga kini terdapat 592 klinik yang berdaftar di enam negeri (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sabah) di mana di negeri ini sahaja, terdapat 298 klinik yang berdaftar dengan Perkeso dan majikan boleh menyemak senarai klinik tersebut di portal rasmi kami,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Program Saringan Covid-19 Pekerja Asing di sebuah syarikat hari ini.

Lebih 8,000 pekerja kilang dan kakitangan syarikat tersebut bakal disaring dalam program inisiatif syarikat bersama Perkeso yang bermula sejak Jumaat lalu hingga 16 Disember ini.

Dr Azlan turut menggesa lebih ramai majikan yang mencarum dengan Perkeso untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ini, kerana kos penyediaan kit ujian pantas antigen akan ditanggung oleh Perkeso.

Pada 28 November lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata Program Saringan Covid-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar di lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing tinggi dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.

Fasa pertama ujian saringan dijalankan di Daerah Klang dan Seremban sejak 1 Disember lepas manakala lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula bermula hari ini.

Bagi seluruh Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula 16 Disember depan.

-BERNAMA