Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih separuh kes Covid-19 di Klang berkaitan kluster

SHAH ALAM, 8 DIS: Kes harian Covid-19 di Klang menurun kepada 174 kes berbanding 235 kes semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata sebanyak 107 daripada kes di daerah tersebut berkaitan kluster sedia ada dan baharu.

“Kluster tersebut adalah kluster Teratai, Bah Manggis, Seri Andalas, Seri Jujur, Perigi dan kluster baharu dikenali kluster Seruling.

“Baki kes pula melibatkan saringan kontak rapat, saringan pekerja, saringan sebelum pembedahan dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI),” katanya menerusi Facebook.

Menurut JKNS, Hulu Langat merupakan daerah kedua tertinggi dengan 144 kes diikuti Petaling (75), Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat (tujuh), Sepang (dua), Hulu Selangor (satu) dan kes import (satu).

“Bilangan keseluruhan kes di Selangor adalah 17,255 dengan 4,401 daripadanya kes aktif manakala 31 kematian direkodkan setakat hari ini,” katanya.


Selangor merekodkan 417 kes baharu Covid-19 atau 41.2 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesan dua kluster baharu di Lembah Klang dikenali kluster Seruling dan Tapak Bina Darul.

Kluster Seruling melibatkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling manakala Kluster Tapak Bina Darul melibatkan Titiwangsa, Cheras dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur; Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Klang di Selangor serta Seremban di Negeri Sembilan.