Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

RMS terima sumbangan RM300,000 untuk aktiviti kebajikan Yide

SHAH ALAM, 2 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerima sumbangan untuk aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berjumlah RM300,000.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan diterima daripada lima syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan dalam majlis ringkas di Istana Kayangan semalam.

“Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Hal Ehwal Korporatnya, Rozita Ahmad menyumbang RM150,000 bagi sumbangan peralatan persekolahan sesi 2021 untuk 17 rumah anak yatim seliaan Yide.

“Syarikat berkenaan sebelum ini turut menyumbang RM1.3 juta untuk pembinaan surau di Kompleks Anak Yatim Pulau Indah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Syarikat lain turut membuat sumbangan ialah Maybank Berhad (RM80,000), Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) (RM10,000), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM30,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM30,000).

“Maybank menyumbang RM80,000 bagi membeli dua mesin dialisis untuk kegunaan pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) seliaan Yide manakala PNSB membuat sumbangan dana infaq pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah,” katanya.

Dalam pada itu Nur Mohd Razali berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan untuk menjayakan pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah dan segala bentuk inisiatif yang dianjurkannya.